Operasi pencarian lelaki terjatuh di Sungai Kuantan diteruskan

Sinar Harian
Februari 11, 2023 12:15 MYT
Operasi mengesan mangsa dilakukan di kawasan sungai sekitar lokasi mangsa terjatuh dari Jambatan Tanjung Lumpur dalam kejadian petang Jumaat. -Foto Sinar Harian
KUANTAN: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari Jambatan Tanjung Lumpur di Sungai Kuantan, diteruskan pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, identiti mangsa belum dikenal pasti.
Menurutnya, berdasarkan maklumat saksi, kejadian berlaku kira-kira jam 5 petang Jumaat apabila mereka melihat seorang lelaki lingkungan 40-an memanjat pagar jambatan sebelum terjatuh.
"Ada saksi yang kebetulan sedang memancing di bawah jambatan terlihat mangsa terjatuh ke dalam sungai dan terkapai-kapai sebelum tenggelam.
"Susulan maklumat diterima, operasi pencarian awal dilakukan dengan bantuan pihak bomba.
"Operasi SAR digerakkan jam 8 malam melibatkan pasukan penyelamat dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, Pasukan Polis Marin dan anggota bomba Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuantan.
"Pencarian tertumpu kepada rondaan di sekitar tempat kejadian serta pemantauan dari atas jambatan serta pencarian di kawasan sungai menggunakan bot," katanya. -Sinar Harian
#Jambatan Tanjung Lumpur #Sungai Kuantan #Wan Mohd Zahari Wan Busu #operasi sar
;