Operasi pencarian lelaki terjatuh di Sungai Kinta disambung semula

Abd Razak Mohd Ali
Disember 20, 2020 12:46 MYT
Unit K9 diaturgerak bagi membantu operasi mencari dan menyelamat seorang lelaki yang dikhuatiri lemas apabila terjatuh dari jambatan di Sungai Kinta. - Foto JBPM
BATU GAJAH: Operasi mencari dan penyelamat (SAR) seorang lelaki yang dikhuatiri lemas apabila terjatuh dari jambatan di Sungai Kinta di sini, petang semalam, disambung semula pagi ini.
Operasi yang disambung jam 8.30 pagi itu bermula dengan pencarian di permukaan air, di sebelah kiri dan kanan sungai, menggunakan tiga buah bot.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) negeri Perak, Unit K9 (unit anjing pengesan) diaturgerak bagi membantu operasi mencari dan menyelamat.
“Skop pencarian diperluaskan dalam jarak 7 kilometer dari lokasi terakhir mangsa dilihat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, kira-kira 50 orang terlibat dalam operasi itu yang terdiri dari anggota bomba dan penyelamat, polis, Rela dan Angkatan Pertahanan Awam.
JBPM Perak menerima maklumat pada jam 2.49 petang semalam, memaklumkan mengenai seorang lelaki berusia 20-an yang terjatuh ke dalam Sungai Kinta dan dihanyutkan arus deras.
Operasi yang diketuai Ketua Balai BBP Batu Gajah PPgB Mohd Norshah Shahri bagaimanapun dihentikan pada pukul 7 petang semalam.
#lemas #bomba #mangsa #operasi #bot #JBPM #polis #Sungai Kinta #SAR #Kampar #Batu Gajah #jatuh #jambatan #arus deras #Sungai #JBPM Perak
;