Operasi pemindahan berjaya, selepas gajah betina bantu Perhilitan buat tangkapan

Astro Awani
September 21, 2019 20:06 MYT
Gajah liar berkenaan dilepaskan ke hutan taman negara antara sempadan negeri Terengganu dan Kelantan. - Astro AWANI
Gajah jantan berusia 20 tahun yang berkeliaran di kawasan kebun dan ladang di Kampung Keruak, Hulu Besut dipindahkan dalam satu operasi yang dijalankan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Menurut Ketua Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Mohamad Khairul Adha Mat Amin, operasi pemindahan mamalia itu bermula pada pukul 9.30 pagi dan berakhir kira-kira 12 tengah hari Sabtu.
Haiwan seberat 2.5 tan itu ditangkap kira kira jam 3 petang, Selasa lalu.
Mohamad Khairul Adha berkata, Perhilitan telah menggunakan khidmat dua gajah denak betina, iaitu Abot dari Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah, Temerloh, Pahang, dan Suria Dari Pusat Konservasi Gajah Sungai Deka, Hulu Terengganu sewaktu tangkapannya.
“Alhamdulillah, segalaya berjalan lancar dengan bantuan (dua) gajah denak... seekor dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah dan seekor lagi daripada Pusat Konservasi Gajah Sungai Deka. Kita gabungkan kerjasama ini selain libatkan lebih kurang 30 orang,” ujarnya.
Gajah jantan berkenaan dilepaskan ke hutan taman negara antara sempadan negeri Terengganu dan Kelantan.
Sementara itu, penduduk Kampung Keruak, Hulu Besut bersyukur apabila kebimbangan mereka berakhir dan dapat kembali menjalani hidup seperti biasa.
Menurut mereka, aktiviti harian di kebun dan ladang mereka sudah terjejas lebih sebulan sejak kemunculan haiwan berkenaan.
Penduduk tempatan juga berkata, Perhilitan Terengganu mengambil tindakan segera selepas aduan dibuat pada 3 September lalu.
Jabatan Perhilitan bertindak menangkap haiwan berkenaan selepas usaha menghalau gajah itu ke habitat asal di hutan Hulu Besut gagal.
“Dia buat operasi pada 16 haribulan, bermakna sebelum ini gajah itu berkeliaran dalam kawasan kebun orang kampung. Orang kampung telah membuat lapor mengenainya. Setelah 16 haribulan, pihak Perhilitan pun buat operasi dan berjaya (memindahkan gajah),” ujar seorang petani, Nordin Hamid.
Gajah jantan berusia 20 tahun berkenaan adalah tangkapan gajah liar ketujuh oleh Perhilitan Terengganu pada tahun ini.
#gajah denak #gajah liar #kebun #penduduk kampung #Perhilitan
;