Operasi pembenihan awan perlu waktu sesuai berikutan kos tinggi - Nik Nazmi

Faida Rahim
Mac 16, 2024 18:28 MYT
Nik Nazmi memaklumkan pihaknya memantau rapat negeri-negeri yang mengalami cuaca panas termasuk Sabah dan Perlis. - Bernama
KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) akan memberi panduan waktu yang sesuai untuk melaksanakan melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) berikutan cuaca panas di negara ini.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) Nik Nazmi Nik Ahmad memaklumkan, faktor itu perlu diambil kira memandangkan kos pelaksanaan yang tinggi.
Selain itu, pihaknya akan bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) sebelum persiapan OPA bermula.
"Pihak kita dengan NADMA akan bekerjasama dan bila tiba masa yang sesuai, maka kita akan buat perkara tersebut... sebab untuk buat pembenihan awan ini ada beberapa faktor yang sesuailah (diambil kira).
"Walaupun cuaca panas, kita perlukan hujan tetapi (bergantung) kalau keadaan awan atau ada angin dan sebagainya. Dia ada beberapa variable yang ada dan perlu sesuai (keadaan) sebelum sebarang operasi pembenihan awan dibuat," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media pada Majlis Perasmian Sambutan Jubli Intan 70 Tahun Persatuan Kelab-kelab Belia Malaysia (MAYC) Kebangsaan di Dewan Kampo Pusat Belia Antarabangsa (IYC), Cheras pada Sabtu.
Tambah beliau, faktor angin, cuaca termasuk keadaan awan perlu diambil kira sebelum pelaksanaan OPA.
Sementara itu, beliau memaklumkan pihaknya memantau rapat negeri-negeri yang mengalami cuaca panas termasuk Sabah dan Perlis.
Terdahulu, MetMalaysia mengeluarkan amaran cuaca panas tahap berjaga-jaga di lapan kawasan utara Semenanjung Malaysia, selain Sabah.
MetMalaysia memaklumkan antara kawasan terlibat adalah Padang Terap, Kota Setar, Pokok Sena, Pendang, Sik dan Baling di Kedah, Hulu Perak di Perak serta negeri Perlis.
#cuaca panas #Nik Nazmi #NADMA #MAYC #hujan
;