Operasi pembenihan awan di Pulau Pinang ditunda ke awal Mei
Dewi Nur Harasha Alias
April 30, 2023 12:20 MYT
April 30, 2023 12:20 MYT
GEORGE TOWN: Operasi pembenihan awan di dua kawasan tadahan air di Pulau Pinang yang sepatutnya bermula hujung April ini dijadualkan semula pada awal Mei ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) Ir K Pathmanathan, berkata ia bertujuan memaksimumkan potensi hujan lebat berdasarkan keadaan cuaca yang optimum.
“PBAPP telah dimaklumkan secara rasmi mengenai keputusan ini oleh Badan Kawal Selia Air Pulau Pinang (BKSA) dalam surat bertarikh 28.4.2023”, katanya.
“Kami menyokong sepenuhnya pendekatan berorientasikan hasil ini. PBAPP menghargai sokongan baik Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), METMalaysia dan BKSA dalam mengatur dan mempercepatkan operasi pembenihan awan untuk Pulau Pinang," katanya.
Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) telah mengesyorkan jangka masa dari 29 April hingga 7 Mei untuk gelombang pertama operasi yang akan dijalankan di Pulau Pinang bagi tahun tahun ini.
Bagaimanapun, ianya bergantung kepada keadaan cuaca yang harus sesuai untuk memaksimumkan kesan operasi pembenihan awan tersebut.
Menurut Pathmanathan, kadar efektif air di empangan Air Itam telah menyusut hampir 40 peratus sejak Januari lalu iaitu daripada 82.5 peratus pada 1 Januari lalu kepada 43.6 peratus semalam.
Manakala, empangan Teluk Bahang pula merekodkan penyusutan daripada 64.0 peratus pada Januari lalu kepada 49.1 peratus sehingga semalam.
Kapasiti efektif kedua-dua empangan ini telah berkurangan kerana kekurangan taburan hujan di kawasan tadahan air berkenaan.
Empangan-empangan berkenaan perlu diisi semula dengan air sebanyak mungkin bagi mengelak krisis bekalan air yang berpotensi berlaku di Pulau Pinang sebelum musim hujan akan datang.
“Pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang menjalankan operasi pembenihan awan pada bulan Mei 2023 akan berlepas dari Pangkalan Udara TUDM Subang di Selangor” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
“Seorang jurutera PBAPP telah ditugaskan untuk berada di dalam pesawat untuk menyaksikan setiap misi di Pulau Pinang” ujar Pathmanathan.
Katanya, PBAPP akan memantau hasil operasi pembenihan awan dengan merekodkan hujan di kawasan tadahan air yang disasarkan dan kapasiti efektif Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang, selepas operasi selesai.