Operasi pembenihan awan bermula

Harits Asyraf Hasnan
September 16, 2019 13:02 MYT
Pesawat TUDM C-130 yang dikendalikan oleh Mejar Norlela Harun bersama lapan pegawai dan anggota kemudian berlepas dari Pangkalan TUDM Subang di sini sekitar jam 12.52 tengah hari. - Foto Astro AWANI
Operasi Pembenihan Awan (OPA) oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) dengan dibantu oleh Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) bermula seawal jam 8.50 pagi tadi.
Pegawai bahagia OPA MET Malaysia memulakan proses melarutkan 800 kilogram garam bersama 4,800 liter air ke dalam empat tong berkapasiti 1,500 liter setiap satu.
Sejurus itu, taklimat pengoperasian, penerbangan dan keselamatan disampaikan kepada 23 anak kapal yang terdiri daripada pegawai MET Malaysia, TUDM, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan wakil-wakil media tempatan dan antarabangsa.
Sewaktu taklimat tersebut, media dimaklumkan bahawa sektor pengoperasian tertumpu di sekitar Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka.
Ini kerana bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) menunjukkan trend menurun di beberapa kawasan di Johor.
Pesawat TUDM C-130 yang dikendalikan oleh Mejar Norlela Harun bersama lapan pegawai dan anggota kemudian berlepas dari Pangkalan TUDM Subang di sini sekitar jam 12.52 tengah hari.
Ia selepas keempat-empat tong berisi larutan garam itu dimuatkan ke dalam pesawat berkenaan.
#air #Jabatan Meteorologi Malaysia #jerebu #jerebu melanda Malaysia #larutan garam #Malaysia #met malaysia #OPA #operasi #operasi pembenihan awan #penerbangan #pesawat #TUDM
;