Operasi pemadaman kebakaran KBC tamat
Astro Awani
Julai 8, 2018 18:53 MYT
Julai 8, 2018 18:53 MYT
Operasi pemadaman tangki simpanan minyak mentah milik Kemaman Bitumen Company (KBC) di Kawasan Perindustrian Teluk Kalong di sini ditamatkan sepenuhnya pada 1 tengah hari, hari ini.
Penolong Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Sharikan Bustaman berkata pemantauan yang dilakukan pihaknya tidak menemui sebarang punca yang mungkin akan menyebabkan tercetusnya kebakaran.
"Selepas beroperasi lebih 48 jam, Alhamdulilah hari ini kita menyaksikan tiada lagi wujudnya punca-punca yang akan berlakunya kebakaran.
"Bagi tangki yang tidak terbakar, kami telah pastikan tangki tersebut kembali pada suhu normal," katanya selepas melakukan pemantauan di kawasan itu hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 petang Khamis lalu tiga buah tangki simpanan dengan lebih 20,000 liter padu minyak mentah telah musnah dalam kebakaran.
Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 6.40 petang Sabtu.
Hari ini, menurut Sharikan, hanya kerja-kerja pembersihan dan pengemasan peralatan yang dijalankan.
Katanya, esok bomba termasuk pasukan daripada Putrajaya akan mula menjalankan penyiasatan untuk mengenal pasti punca kebakaran.
Tambahnya, Penolong Ketua Pengarah (Operasi dan Menyelamat) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Edwin Galan Turki dijadual turut serta bersama-sama pasukan daripada Putrajaya itu.
"Siasatan akan bermula esok sehingga Khamis dan jika kami tidak dapat mengesan puncanya dengan pasti dalam tempoh itu, kami akan teruskan siasatan untuk mendapatkan punca sebenar kebakaran," katanya.
Sementara itu, Bernama melaporkan, kesemua anggota bomba yang terlibat sepanjang operasi pemadaman telah diarahkan menjalani pemeriksaan kesihatan.
Ia bagi memastikan mereka tidak mengalami sebarang masalah sampingan kesan daripada operasi berkenaan kerana ia melibatkan bahan kimia berbahaya.
#bahan kimia
#bomba
#Edwin Galan Turki
#JBPM
#KBC
#kebakaran
#minyak
#operasi
#Pemadaman
#Sharikan Bustaman
#tangki
#terengganu