Operasi Pasar Payang 1 ditangguh 15 Julai
Bernama
Julai 1, 2024 16:31 MYT
Julai 1, 2024 16:31 MYT
KUALA TERENGGANU: Pasar Payang 1 yang sepatutnya beroperasi hari ini ditangguhkan kepada 15 Julai depan.
Ia memandangkan kebanyakan lot kedai masih dalam proses ubah suai dan penambahbaikan.
Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Terengganu cawangan Kuala Terengganu Zakaria Yusof berkata setakat ini hanya peniaga di empat bahagian sahaja termasuk kedai emas, cenderamata, peralatan dapur serta kasut dan selipar sudah membuat undian lot, manakala kedai batik dijangka 15 Julai ini.
Beliau berkata sebelum beroperasi, para peniaga perlu melakukan banyak proses pengubahsuaian seperti membuat pendawaian, rak barangan, meja pameran dan sebagainya untuk keperluan perniagaan.
"Peniaga di empat bahagian sudah mendapat kunci masing-masing, tetapi mereka perlu buat ubah suai, nak masukkan elektrik, buat rak dan macam-macam kerja lagi.
"Kita jangka paling awal pun peniaga mungkin masuk beransur-ansur 15 Julai nanti. Tetapi semua itu bergantung kepada tahap kemajuan proses ubah suai," katanya kepada Bernama hari ini.
Sementara itu seorang peniaga kedai emas Pasar Payang 1 Mohd Ropi Endut, 53, berkata proses mengubah suai kedainya dijangka mengambil masa hampir dua bulan kerana proses pemasangan peti besi yang rumit dan mengambil masa.
Mohd Ropi berkata sementara kerja tersebut siap, operasi perniagaan beliau akan berjalan seperti biasa di Pasar Payang 2.
Pasar Payang 1 telah dibina menggunakan peruntukan Kerajaan Persekutuan berjumlah RM70 juta.
Bangunan setinggi dua tingkat itu menempatkan 412 lot kedai, 369 petak jualan dan pelbagai kemudahan termasuk tandas, eskalator, surau dan bilik persalinan bayi.
-- BERNAMA
#operasi Pasar Payang
#ditangguh
#Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Terengganu
#Kuala Terengganu