Operasi pasar pagi dibenarkan dalam tempoh PKPB di Selangor

Bernama
Oktober 14, 2020 22:12 MYT
Orang ramai dilihat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan memakai pelitup muka berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika tinjauan di Pasar Besar, Klang. - BERNAMA
SHAH ALAM: Selangor membenarkan pasar pagi beroperasi sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) selama 14 hari di negeri berkenaan yang bermula hari ini.
Bagaimanapun Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, operasi pasar pagi itu tertakluk kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang sama dengan pasar malam.
Beliau berkata, upacara pendaftaran perkahwinan bukan Islam juga dibenarkan sepanjang penguatkuasaan PKPB, namun hanya enam orang sahaja dibenarkan pada satu-satu masa.
"Penggunaan taman permainan dan peralatan senaman di taman awam pula tidak dibenarkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Amirudin, SOP khusus untuk PKPB di mukim Klang sebelum ini adalah terbatal, selepas kerajaan negeri memutuskan untuk mengguna pakai keseluruhan SOP yang digariskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), di seluruh Selangor.
BACA: Pasar pagi, pasar terbuka, pasar malam, bazaria di Selangor dibuka mulai Isnin - MB
Keputusan berkenaan dibuat setelah meneliti pandangan semua pihak pada Mesyuarat Penyelarasan Pelaksanaan PKPB Selangor hari ini, yang turut dihadiri Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dan MKN Selangor.
Pada Isnin lepas, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan PKPB di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya bermula hari ini sehingga 27 Okt, berikutan peningkatan kes COVID-19. Sabah juga dikenakan PKPB tetapi bermula sehari lebih awal, 13 Okt.
Mengikut SOP MKN, turut dibenarkan beroperasi adalah pasar harian, pasar borong, pasar tani dan pasar malam, namun perlu mematuhi waktu operasi yang dibenarkan.
-- BERNAMA
#PKPB #Pasar pagi #perintah kawalan pergerakan bersyarat #Amirudin Shari #SOP #prosedur operasi standard #orang awam #Mukim Klang #Majlis Keselamatan Negara #MKN Selangor
;