Operasi pantau perairan negara tidak terjejas - Hishammuddin
Bernama
Disember 22, 2016 14:11 MYT
Disember 22, 2016 14:11 MYT
Kementerian Pertahanan memberi jaminan bahawa operasi pemantauan udara di perairan negara oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tidak akan terjejas susulan penggantungan operasi tiga pesawat Beechcraft B-200T.
Menterinya Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata selain menggunakan pesawat itu, Malaysia turut bekerjasama rapat dengan beberapa negara kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat, China selain Filipina dan Indonesia dalam memantau perairan negara dari udara.
"Dalam memantau perkara ini (perairan), kita kena fikir luar kotak, dengan Beechcraft B-200T kita tak boleh saingi P-8 Poseidon dan Lockheed P-3 Orion milik Amerika Syarikat, Indonesia dan China, tapi melalui hubungan kita dengan kuasa besar itu sekurang-kurangnya kita dapat maklumat berhubung kait dengan Laut China Selatan, isu keselamatan di Laut Sulu.
"Kalau kita dapat kerjasama rapat dengan kuasa besar, dengan negara jiran di ASEAN melalui trilateral yang ada antara Malaysia, Indonesia dan Filipina tidak bermakna tak ada satu daripada empat Beechcraft (pesawat) maklumat tak datang kepada kita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan Malaysian Institute of Defence and Security (MiDAS) di Kementerian Pertahanan di sini hari ini.
Beliau berkata atas dasar hubungan yang erat dan saling menghormati antara satu sama lain negara terbabit sanggup berkongsi maklumat risikan.
Susulan nahas di Pangkalan Udara Butterworth semalam, TUDM mengarahkan tiga lagi pesawat Beechcraft B-200T milik TUDM berpangkalan di Subang digantung operasi hingga suatu tempoh.
Nahas pesawat Beechcraft B-200T milik TUDM di Pangkalan Udara Butterworth pukul 5.18 petang semalam mengorbankan seorang juruterbang TUDM, Mejar C. Kayamboo, 44 tahun, manakala tiga lagi cedera iaitu Kaptan Wai Lik, 26, Sarjan Udara Mohd Sofi Azizan, 29 dan Lt Hamid Hanafi, 26. - BERNAMA