Operasi menyelamat remaja warga Brunei yang hilang di Limbang diteruskan

Lynch Cowan
April 1, 2020 12:35 MYT
Mangsa Mohd. Alizam Ali Safari dilaporkan hilang di kawasan hutan berdekatan Kampung Berawan, Limbang semalam. - JBPM Sarawak
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang remaja warga Brunei berusia 14 tahun diteruskan pada Rabu.
Mangsa Mohd. Alizam Ali Safari dilaporkan hilang di kawasan hutan berdekatan Kampung Berawan, Limbang semalam.
Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang telah menerima maklumat mengenai kejadian itu dari Balai Polis Limbang pada jam 8.05 malam semalam (Selasa).
Menurut Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak, operasi SAR hari kedua hari ini dimulakan pada jam 8.18 pagi dengan pasukan SAR dipecahkan kepada empat pasukan, dengan radius pencarian di sekitar kawasan bukit.
Operasi hari ini disertai 11 anggota bomba dan penyelamat, 11 anggota polis, tujuh anggota Angkatan Pertahanan Malaysia dan sembilan orang penduduk kampung.
Menurut kronologi kejadian, pada kira-kira jam 9 pagi mangsa telah memberitahu ibunya yang dia berasa bosan tinggal di rumah dan keluar ke hutan belakang rumah mereka dengan membawa sebilah parang dan seekor anjing.
Bagaimanapun, sehingga petang semalam hanya anjingnya sahaja dilihat telah balik ke rumah.
Bimbang akan keselamatan anaknya, ibunya membuat laporan polis di Balai Polis Limbang.
#Balai Bomba dan Penyelamat Limbang #hilang #Kampung Berawan #Limbang #Mohd Alizam Ali Safari #SAR
;