Operasi mencari wanita lemas di Sungai Perak diteruskan

Nazialita Geynna Maharan
November 10, 2015 18:48 MYT
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar, Khairi Anuar Saharuddin berkata, operasi mencari mangsa semakin sukar kerana arus sungai mulai deras berikutan hujan berterusan kebelakangan ini sekaligus menyukarkan operasi pencarian. - Gambar hiasan
Operasi mencari seorang wanita yang dikhuatiri lemas di Sungai Perak selepas dipercayai cuba membunuh diri masih diteruskan meskipun tempoh pencarian melebihi seminggu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar, Khairi Anuar Saharuddin berkata, operasi mencari mangsa semakin sukar kerana arus sungai mulai deras berikutan hujan berterusan kebelakangan ini sekali gus menyukarkan operasi pencarian.
"Buat masa ini, kami masih belum menemui sebarang petunjuk dan kami mengesyaki bahawa mangsa berada jauh daripada lokasi dia terjun, sekiranya tidak tersangkut di mana-mana.
"Kami telah melakukan pencarian di Pulau Besar berhampiran tempat mangsa terjun dan masih belum menemui apa-apa sehingga ke hari ini. Malah, perimeter pencarian juga diluaskan sehingga ke Tanjung Belanja," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini pada Selasa.
Menurut Khairi Anuar, pihaknya turut mendapatkan bantuan Polis Marin untuk melakukan operasi pencarian di Pasir Salak.
Jelasnya buat masa ini pihak bomba masih lagi menggunakan satu bot untuk mencari mangsa dan dijangkakan operasi bakal tamat dalam dua atau tiga hari lagi.
Bagaimanapun, beliau kini menunggu arahan daripada pihak atasan berhubung operasi itu sama ada ia perlu ditamatkan segera atau diteruskan untuk beberapa hari lagi.
"Selagi tiada arahan berhenti mencari, kita akan terus menjalankan operasi ini. Difahamkan, pihak polis juga telah menghubungi keluarga mangsa," katanya.
Justeru, beliau meminta kerjasama orang ramai terutama penduduk sekitar yang mempunyai maklumat terkini berhubung kejadian tersebut untuk menyalurkannya kepada pihak bomba atau polis.
#bomba #bunuh diri #lemas #polis #sungai perak
;