Operasi mencari tekong bot nelayan hilang diteruskan

Nur Fazlizai Ali
April 8, 2022 11:10 MYT
Pencarian itu meliputi Pulau Kapas sehingga ke perairan Dungun dan Paka. - Astro AWANI
KUALA TERENGGANU: Operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) tekong bot nelayan tempatan yang dikhuatiri hilang di perairan Pulau Kapas di perluaskan hampir 100 batu nautika persegi.
Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, pencarian itu meliputi Pulau Kapas sehingga ke perairan Dungun dan Paka.
Katanya, lebih 40 kekuatan terlibat dalam operasi pencarian yang memasuki hari kedua itu.
Menurut Muhammad Suffi, dua buah pesawat milik Maritim Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) turut digerakkan dalam misi pencarian itu.
Selain aset udara sebuah kapal Maritim, serta bot nelayan tempatan turut bertungkus lumus bagi mengesan mangsa.
Beliau berkata berdasarkan ramalan juga cuaca tidak menentu dengan hujan dijangkakan sehingga malam di beberapa kawasan.
Selain itu kelajuan angin mencecah 10 ke 20 kilometer sejam dengan ketinggian gelombang antara 0.5 meter hingga 1 meter menerusi laporan meteorologi.
Terdahulu seorang tekong bot nelayan dikhuatiri hilang, selepas bot dinaiki bersama dua lagi awak-awak karam di perairan Pulau Kapas, Marang pada Rabu.
Bagaimanapun kedua awak-awak yang berusia 48 dan 60 tahun berjaya itu berjaya diselamatkan manakala tekong, Wan Mustapha Ayob, 62, masih hilang.
Kejadian dikatakan berlaku sekitar lapan batu nautika dari Pulau Kapas, kira-kira jam 12.30 tengah hari.
#SAR #bot nelayan #karam #tekong
;