Operasi mencari penunggang motosikal jatuh longkang diperluas lebih 100 km

Abd Razak Mohd Ali
Januari 17, 2021 12:52 MYT
Operasi pencarian melibatkan lebih 70 anggota bomba dibantu anggota daripada pelbagai agensi. - Foto JBPM
IPOH: Operasi pencarian lelaki yang terjatuh ke dalam longkang di Lebuh Persiaran Klebang 11 di Chemor dekat sini, kini diperluaskan sehingga ke Teluk Intan, lebih 100 kilometer daripada lokasi dia dilaporkan terjatuh.
Mangsa, Ahmad Amin Ismail, 58, dipercayai dihanyutkan arus deras dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 malam Khamis lalu ketika hujan lebat.
Dia dikatakan terjatuh ke dalam longkang di bahu jalan setelah motosikal yang ditunggangnya terbabas.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, berkata, strategi pencarian dibahagikan kepada enam sektor, bermula dari Chemor, Kampung Temiang, Pasir Puteh, Batu Gajah, Kampung Gajah dan seterusnya ke Teluk Intan.
Menurutnya, operasi melibatkan lebih 70 anggota bomba dibantu unit K9 dan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA), bomba sukarela, polis, Angkatan Pertahanan Awam, sukarelawan SOS Kamparado serta ahli community policing Pakat.
"Operasi diketuai Timbalan Penguasa Bomba Azman Hussin Hassan selain dipantau pegawai-pegawai kanan bomba negeri," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Pada Jumaat, gerakan mencari dilakukan di sepanjang tebing Sungai Klebang yang dipenuhi pokok dan semak tebal.
Pihak bomba menerima maklumat kejadian pada pukul 7.39 malam yang memaklumkan seorang lelaki terjatuh ke dalam longkang dengan kedalaman hampir dua meter.
Ketika kejadian, paras air longkang di lokasi mangsa dikatakan terjatuh, adalah tinggi dan deras.
#Operasi pencarian #hujan lebat #motosikal #jatuh #longkang #Lebuh Persiaran Klebang #Ahmad Amin Ismail #JBPM #bomba
;