Operasi mencari pemandu pelancong yang hilang di Gua Rusa Mulu diteruskan
Rudi Affendi Khalik
Julai 14, 2019 10:48 MYT
Julai 14, 2019 10:48 MYT
Gerakan mencari dan menyelamat pemandu pelancong yang hilang dibawa arus deras di dalam Gua Rusa, Taman Negara Mulu diteruskan pagi tadi.
Ketua Bomba dan Penyelamat Miri, Law Poh Kiong berkata, operasi dimulakan sekitar jam 8 pagi tadi.
Seramai 68 individu termasuk 12 anggota bomba terlibat dalam operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) terbabit.
Anggota SAR katanya, dipecahkan kepada lima pasukan bagi melakukan pencarian di lima sektor berbeza.
Ini termasuk menyusur permukaan Sungai Rusa dan mencari di celah-celah batu.
Manakala sebuah pasukan lagi melakukan pencarian permukaan di Sungai Paku, yang menjadi laluan keluar air sungai.
Satu sesi penerangan telah diadakan pagi tadi sebelum kerja-kerja operasi dimulakan.
Pagi semalam, salah seorang mangsa yang hilang, pelancong dari Belanda, Peter Hans Hoverkamp, 66, ditemui lemas dalam keadaan terapung.
Sementara, seorang lagi mangsa yang merupakan pemandu pelancong rakyat tempatan, Roviezal Robin, 20 tahun masih belum ditemui.
Insiden banjir kilat berlaku pada petang Jumaat selepas gua terbabit dilanda arus kepala air dikatakan datang daripada kawasan Garden of Eden.