Operasi mencari pelari hilang belum ada petunjuk baharu
Abd Razak Mohd Ali
Mac 28, 2019 22:08 MYT
Mac 28, 2019 22:08 MYT
Selepas lima hari, masih belum ada petunjuk baharu dalam operasi pencarian peserta Gopeng Ultra Trail, Mohammad Ashraf Hassan, 29, yang dilaporkan hilang ketika menyertai larian itu Sabtu lalu.
Namun operasi tetap diteruskan, kata Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Perak, Mohamad Yunus Abu.
Katanya, operasi hari kelima difokuskan kepada semua laluan pelari bemula check point 10 hingga ke garisan penamat.
"Pencarian turut melibatkan pegawai bomba dan pasukan bomba sukarela. Selain itu, kita masih mnggunakan khidmat Unit K9 (anjing pengesan) bomba sebanyak lima ekor," katanya di sini pada Khamis.
Mohammad Ashraf dipercayai hilang ketika mengambil bahagian di dalam Gopeng Ultra Trail sejauh 25km yang bermula dan berakhir di Gua Tempurung.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Azmi Osman sebelum ini memberitahu, pihaknya sepatutnya mendapat maklumat daripada salah seorang peserta larian itu.
Maklumat itu berkenaan pengesanan terakhir di mana dia nampak mangsa tersebut.
Selain usaha fizikal, difahamkan pelbagai usaha kerohanian seperti solat hajat dilakukan oleh beberapa pihak, termasuk keluarga mangsa dan penduduk setempat untuk membantu mengesan mangsa.
#Gopeng Ultra Trail
#Mohammad Ashraf Hassan
#pelari gopeng ultra
#pelari hilang
#pelari hilang di gopeng