Operasi mencari lelaki Orang Asli dikhuatiri lemas ketika memukat diteruskan
Abd Razak Mohd Ali
Mac 19, 2025 11:30 MYT
Mac 19, 2025 11:30 MYT
Pencarian awal menggunakan sebuah bot bersama empat anggota dalam radius satu kilometer dari lokasi mangsa dipercayai hilang. - Foto JBPM Perak
SUNGAI SIPUT: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) lelaki orang Asli, Amran Ahin, 43, yang dikhuatiri lemas ketika memukat di Sungai Perlus, Kampung Kuala Chenein, Lasah, dekat sini, diteruskan pagi ini.
Lelaki itu dikhuatiri lemas ketika memukat di sungai berkenaan bersama anaknya yang berusia 8 tahun, malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 9.34 malam.
Menurutnya, operasi pencarian pada pagi ini diteruskan dengan sesi taklimat kepada semua anggota termasuk lain-lain agensi dan orang awam berkaitan pelan tindakan yang telah dilakukan oleh Komander Operasi.
“Ketua operasi mengaplikasikan Konsep L.A.S.T dan membuat pencarian awal dengan menggunakan sebuah bot bersama empat anggota dalam radius satu kilometer dari lokasi mangsa dipercayai hilang,” katanya dalam kenyataan di sini.
Seterusnya, kata Sabarodzi, mereka akan menggunakan kaedah pencarian di permukaan di kiri dan kanan tebing sungai, mengikut arus sungai dan selamat di lokasi yang dikenal pasti.
Menurutnya, pasukan pencarian akan dipecahkan kepada beberapa kumpulan dan dibantu oleh lain-lain agensi dan orang awam.
Katanya, setakat ini, empat buah bot digunakan dengan 19 anggota bomba, termasuk dari Unit K9 dan Pasukan Pencarian Di Air (PPDA), bersama-sama enam anggota polis dan 20 orang awam.
Selain jentera dan anggota dari Balai Bomba dan penyelamat (BBP) Sungai Siput, operasi turut dibantu anggota dari BBP Kuala Kangsar dan Ipoh.