Operasi mencari lapan yang hilang insiden bot karam diteruskan
Astro Awani
Januari 19, 2014 14:33 MYT
Januari 19, 2014 14:33 MYT
Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) lapan penduduk kampung yang hilang apabila bot panjang yang dinaiki merekaterbalik disambung pada pukul 7.30 pagi tadi.
Kejadian itu berlaku di Batang Lassa dekat Kampung Kut di Daro, kira-kira 150 kilometer dari sini semalam.
Ketika kejadian, bot tersebut dinaiki oleh 27 orang penumpang.
Astro AWANI sempat menghubungi Ketua Polis Daerah Matu/Daro, Deputi Supritendan Wagner Lisa Libut untuk mendapatkan perkembangan itu.
Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Muhammad Sabtu Osman memberitahu Bernama supaya semua pihak tidak menyebarkan sebarang bentuk maklumat yang belum disahkan.
Beliau berkata perkara ini termasuk nama mangsa terselamat dan masih hilang dalam kejadian tersebut.
"Untuk makluman semua, sehingga pagi ini tiga mangsa disahkan meniggal dunia, lapan masih hilang dan 16 berjaya diselamatkan. Bagaimanapun jika ada pula akhbar-akhbar dalam laporan hari ini menyatakan 17 mangsa berjaya diselamatkan, ini tidak tepat," katanya.
Muhammad Sabtu turut berkata bahawa terlalu awal untuk mencari punca sebenar kejadian.
"Ketika ini kita tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak, seperti ada dakwaan mengatakan bot panjang berkenaan terlebih muatan.
"Apa yang boleh disahkan ialah ketika kejadian, arus deras dan angin kencang. Untuk lebih kepastian kita biarkan polis melakukan siasatan lanjut," katanya lagi kepada Bernama.