Operasi mencari kanak-kanak Orang Asli hilang diperluas 10km radius

Abd Razak Mohd Ali
Januari 17, 2022 12:57 MYT
Operasi pencarian diteruskan dengan kekuatan 37 anggota termasuk dari Unit K9 JBPM, polis, Jabatan Hal Ehwal Orang Asli dan syarikat komunikasi. - Foto JBPM
GERIK: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang kanak-kanak perempuan Orang Asli yang dilaporkan hilang di Hutan Temengor di sini Khamis lalu, diteruskan hari ini.
Kamiliah Anab, 9 tahun, disedari hilang sekitar jam 4.30 petang selepas keluarganya bersama penduduk lain pulang dari mencari hasil hutan di Kampung Selaur, berhampiran Padang Jeri, dekat sini.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, kanak-kanak itu terdahulu mengikuti keluarganya mencari rotan di dalam hutan.
"Operasi pencarian disambung semula pagi ini di sektor kelima. Pencarian diperluas sejauh 10 kilometer (km) radius.
“Operasi diteruskan dengan kekuatan 37 anggota termasuk dari Unit K9 (Unit Anjing) JBPM, polis, Jabatan Hal Ehwal Orang Asli dan syarikat komunikasi,” katanya dalam kenyataan di sini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gerik Azizan Aziz berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan mangsa pada jam 12.11 tengah hari Jumaat.
Menurut hebahan Nur Alert, ketika hilang, kanak-kanak itu memakai baju berwarna kuning dan berseluar warna biru.
#kanak-kanak Orang Asli hilang #Hutan Temengor #JBPM Perak #Kamiliah Anab
;