Operasi mencari kanak-kanak Orang Asli hilang di Hutan Temengor ditangguhkan

Abd Razak Mohd Ali
Januari 19, 2022 23:23 MYT
Kamiliah Anab, 9, disedari hilang sekitar jam 4.30 petang selepas keluarganya bersama penduduk lain pulang dari mencari hasil hutan di Kampung Selao, berhampiran Padang Jeri, dekat sini. - Gambar fail
GERIK: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kanak-kanak Orang Asli yang dilaporkan hilang di Hutan Temengor di sini Khamis lalu, ditangguhkan hari ini.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, hasil perbincangan dengan Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood, operasi ditangguhkan pada jam 6 petang, dan hanya akan disambung semula sekiranya mendapat petunjuk baharu.
“Walau bagaimanapun, pemantauan secara berkala akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan di sini.
Kamiliah Anab, 9, disedari hilang sekitar jam 4.30 petang selepas keluarganya bersama penduduk lain pulang dari mencari hasil hutan di Kampung Selao, berhampiran Padang Jeri, dekat sini.
Pelbagai usaha dilakukan dalam operasi SAR termasuk menggunakan kepakaran anggota Senoi Praaq dari Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor.
Selain iti, dua ekor anjing pengesan dari Unit K9 JBPM dan dua unit dron juga dibawa untuk membantu operasi.
Jumlah kekuatan bantuan sumber manusia juga telah ditingkatkan kepada 76 orang, termasuk dari Jabatan Hal Ehwal Orang Asli, Perhilitan, syarikat komunikasi dan orang awam.
#kanak-kanak Orang Asli hilang #Hutan Temengor #tasik banding #Gerik
;