Operasi mencari kanak-kanak jatuh sungai diteruskan pagi ini

Adie Sufian Zulkefli
November 8, 2021 09:58 MYT
Operasi mencari Mohd Hafiz Izzan Awari turut menggunakan anjing pengesan K9 bomba. - Foto JBPM Kedah
YAN: Kanak-kanak lelaki yang dikhuatiri lemas di Kampung Perupok, dekat sini petang semalam dikatakan bermain bersama kakaknya sebelum dipercayai terjatuh dan dihanyutkan arus sungai.
Ketua Polis Daerah Yan DSP Shahnaz Akhtar Haji berkata, pada awalnya, mangsa mengunjungi rumah neneknya di kampung itu, bersama ibu dan kakaknya.
Sebaik tiba, Mohd Hafiz Izzan Awari, 6 tahun, terus keluar bermain di tepi sungai.
"Kakaknya terlebih dahulu pulang ke rumah neneknya dan meninggalkan adiknya bermain seorang diri di tepi sungai itu.
“Ibu mangsa menyedari mangsa tiada bersama kakaknya dan bertanyakan keberadaan mangsa kepada kakaknya yang berusia sembilan tahun," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Shahnaz berkata, selepas mencari, ibu mangsa menemui basikal milik mangsa berada di atas jalan di lokasi terakhir kanak-kanak itu bermain bersama kakaknya.
Katanya, polis yang menerima laporan kejadian dari bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (Yan) terus menghantar Unit Peronda MPV dan ibu mangsa yang berusia 36 tahun mengesahkan anaknya hilang dipercayai terjatuh ke dalam sungai.
Shahnaz berkata, pasukan bomba yang tiba pada jam 6.35 petang segera melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dengan membuat pencarian di permukaan air di lokasi terbabit namun gagal menemui mangsa.
Operasi SAR diteruskan semula bermula jam 8 pagi ini oleh pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan dengan dibantu Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan anggota Jabatan Sukarelawan (RELA) Yan.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain memaklumkan, SAR tertumpu di kawasan mangsa dilaporkan terjatuh sehingga jarak 200 meter.
Menurutnya, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Sungai Petani turut melakukan selaman, di sebalik arus deras yang menyukarkan sedikit usaha pencarian mangsa.
“Operasi turut menggunakan anjing pengesan K9 bomba bagi mengesan mangsa,” katanya.
#Kanak-kanak #jatuh sungai #Mohd Hafiz Izzan Awari #operasi sar
;