Operasi mencari dua warga Filipina insiden pelanggaran bot ditamatkan

Bernama
Ogos 9, 2024 11:30 MYT
Operasi dilakukan oleh pasukan Maritim Malaysia di perairan Pulau Sebangkat, Semporna, bagi mencari dan menyelamat dua warga Filipina yang hilang dalam insiden pelanggaran bot pada Selasa. - Gambar fail/Sinar Harian
SEMPORNA: Operasi mencari dan menyelamat dua warga Filipina yang hilang dalam insiden pelanggaran dua bot di perairan Pulau Sebangkat di sini, sejak Selasa lepas (6 ogos) ditamatkan, semalam.
Pengarah Zon Maritim Semporna Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Komander Maritim Amir Shubli berkata operasi itu ditamatkan pada pukul 6.30 petang semalam berikutan tiada sebarang petunjuk baharu ditemukan pasukan mencari dan menyelamat tersebut.
Katanya operasi itu meliputi kawasan keluasan 64 batu nautika persegi dengan penglibatan tujuh buah bot Maritim Malaysia dan agensi lain seperti Tentera Laut Diraja Malaysia, Pasukan Polis Marim, Angkatan Pertahanan Awam, serta Taman-Taman Sabah.
"Komuniti setempat juga telah dimaklumkan mengenai kehilangan mangsa dan diminta untuk melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya menemukan sebarang petunjuk," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Selasa lepas, dua warga Filipina yang dikenali sebagai Rommek Tura dan Jimal, masing-masing berusia 30 tahun dikhuatiri lemas selepas bot yang dinaiki bersama dua orang lagi yang terselamat, bertembung dengan sebuah bot lain di sini.
-- BERNAMA
#pelanggaran bot #warga filipina #Semporna #lemas
;