Operasi mencari dua anggota tentera diperhebat

Hakim Rahman
Julai 22, 2019 15:39 MYT
Pencarian dilakukan di kawasan pulau dan perairan persekitaran bagi mengesan anggota-anggota tersebut.- Astro AWANI
Kementerian Pertahanan memperhebat usaha mencari dua anggota tentera yang dilaporkan hilang ketika bertugas dalam satu operasi di Pulau Perak, Kedah semenjak Jumaat lalu.
Pencarian dilakukan di kawasan pulau dan perairan persekitaran bagi mengesan anggota-anggota tersebut.
Operasi melibatkan Tentera Darat Malaysia (TDM) dengan kerjasama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sedang giat menjalankan pencarian bermula pagi Sabtu.
"Pencarian dilakukan di kawasan pulau dan perairan persekitaran bagi mengesan anggota-anggota tersebut," kata Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan hari ini.
Ketiadaan Koperal David bin Edmund Rapi dan Lans Koperal Moses ak Logers dikesan pada lewat malam Jumaat lalu ketika Ketua Penempatan membuat perbarisan pemeriksaan malam bagi mengira kekuatan.
Usaha mencari dan mengesan dua anggota tersebut telah dilakukan oleh anggota yang bertugas di pulau berkenaan namun terpaksa dihentikan berikutan angin kuat serta hujan lebat selain penglihatan yang terhad.
BACA: Tentera hilang dalam laut di Pulau Perak
Anggota Tentera Darat tersebut, Koperal David bin Edmund Rapi dan Lans Koperal Moses ak Logers yang berpangkalan di Kem Bukit Cowder, Perlis ketika itu sedang bertugas dalam Operasi PEJARAK (Op PEJARAK) di Pulau Perak.
Op PEJARAK merupakan operasi yang dilaksanakan di bawah kawalan Markas Pemerintahan Armada Barat, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Ia melibatkan penempatan anggota TDM di dua buah pulau di antara perairan Kedah dan Perak.
Pulau Perak merupakan sebuah pulau kecil yang mempunyai diameter 200 meter dan terbentuk daripada batuan dan mempunyai tebing curam yang berketinggian lebih 100 meter ini merupakan daratan terhujung barat Semenanjung Malaysia di perairan Selat Melaka.
Pulau ini terletak kira-kira 60 batu nautika barat daya Langkawi dan 70 batu nautika barat laut Pulau Pinang.
#APMM #hilang #Op PEJARAK #Pulau Perak #tentera #TLDM #TUDM
;