Operasi mencari dan menyelamat MH370 diperhebat pagi ini - DCA

Bernama
Mac 9, 2014 12:04 MYT
Operasi mencari dan menyelamat pesawat MH370 yang berlangsung tanpa henti sejak semalam diperhebat pagi ini dengan tambahan tiga pesawat.
Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata setakat ini operasi tidak menemukan sebarang kesan.
"Setakat ini tidak ada apa yang dapat dilaporkan dan tidak ada apa yang dijumpai pasukan yang berada di perairan Laut China Selatan atau di tempat yang dilaporkan hilang berdasarkan radar itu," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata sepanjang malam tadi, operasi mengesan pesawat itu dilakukan menggunakan kapal laut.
Sementara itu ditanya mengenai laporan media asing berhubung penemuan tumpahan minyak, beliau berkata: "Perkara itu belum disahkan. Berita itu dilapor oleh media tetapi belum disahkan".
Katanya siasatan dilakukan dari semua sudut termasuk kemungkinan serangan pengganas dan juga laporan berhubung penggunaan pasport curi oleh dua penumpang.
"...kami sudah mendapatkan semua maklumat daripada MAS untuk tujuan siasatan," katanya.
Azharuddin juga berkata data daripada pesawat tidak menunjukkan sebarang keganjilan ketika penerbangan.
Ditanya mengenai laporan media bahawa anggota keluarga penumpang dan anak kapal akan diterbangkan ke lokasi yang dirahsiakan pagi ini, beliau berkata perkara itu diserahkan kepada MAS.
Penerbangan MH370 menggunakan Boeing 777-200 itu disahkan DCA sebagai hilang daripada radar pada 1.30 pagi semalam, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Terdahulu MAS dilapor berkata pesawat itu terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Subang pada 2.40 pagi.
Pesawat yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal berkenaan dijadual mendarat di Beijing pada 6.30 pagi semalam.
#Datuk Azharuddin Abdul Rahman #Laut China Selatan #MAS #MH370
;