Operasi memadam api Hutan Simpan Kuala Langat selesai seminggu

Anthea Yap
April 13, 2016 23:00 MYT
Ketua Balai Bomba Banting Mohd, Jaslizad Jalil berkata, operasi memadam kebakaran diteruskan secara agresif di kawasan seluas 20 hektar.
Operasi pemadaman kebakaran hutan simpan di Kuala Langat Selatan, Banting, Selangor dijangka selesai dalam tempoh tujuh hari.
Ketua Balai Bomba Banting Mohd, Jaslizad Jalil berkata, operasi memadam kebakaran diteruskan secara agresif di kawasan seluas 20 hektar.
Menurutnya lagi, operasi yang masuk hari ketujuh itu kini tertumpu kepada usaha memadam baki 30 peratus kawasan yang masih terbakar.
"Yang pertama kita lihat dari faktor cuaca dan kemudian kita akan lihat dari segi laluan yang kita guna. Berdasarkan semua faktor ini jangkaan pemadaman di kawasan yang terjejas mengambil masa seminggu atau lebih", katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Anggaran 20 hektar daripada 6,844 hektar kawasan keseluruhan Hutan Simpan Kuala Langat Selatan itu terbakar namun kawasan kebakaran itu masih terkawal.
Menurut Mohd Jaslizad, pihaknya turut menggunakan dua kaedah mengawal pembakaran itu dengan membuat pemecah api dan parit bagi menghalang api daripada merebak
Selain itu, pemadaman secara terus adalah antara kaedah kedua yang turut digunakan bagi mengatasi pembakaran terbabit.
Operasi pemadaman melibatkan 46 anggota Balai Bomba Banting, Cyberjaya dan Sepang dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Kuala Langat.
Sebelum ini, Hutan Simpan Kuala Langat Selatan itu pernah mengalami kebakaran berturut-turut dalam tempoh tiga tahun bermula sejak 2013.
#bomba #hutan simpan #Jaslizad Jalil #kebakaran hutan #Kuala Langat
;