Operasi Medevac: JBPM bantu warga emas Orang Asli dapatkan rawatan

Bernama
Jun 4, 2023 14:19 MYT
Pesakit diterbangkan ke BBP Gua Musang pada jam 11.56 pagi dan diserahkan kepada kakitangan KKM untuk proses seterusnya. -Twitter Bernama
GUA MUSANG: Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) melakukan penerbangan pemindahan perubatan (Medevac) bagi membantu seorang warga emas Orang Asli dari Kampung Tapai, Pos Hau, mendapatkan rawatan di Hospital Gua Musang, semalam.
Pegawai Perhubungan Awam JBPM Pangkalan Udara Wilayah Utara Pulau Pinang, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Akmaluddin Said berkata pesakit Taran Alig, 70, diiringi anak perempuannya Ruzita Alang, 43, menaiki helikopter jenis Agusta Westland AW139 yang berlepas dari Pulau Pinang pada pukul 10.25 pagi.
"Pesakit mengalami lelah, demam dan batuk yang berlarutan selama dua hari selain tidak boleh berjalan dan duduk.
"Pesakit diterbangkan ke Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang pada pukul 11.56 pagi dan diserahkan kepada kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk proses seterusnya," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Muhammad Akmaluddin berkata keadaan perkampungan di Pos Hau perlu diselenggara segera kerana tidak sesuai untuk pendaratan pesawat bersaiz besar seperti helikopter jenis Mi-17.
-- BERNAMA
#medevac #warga emas Orang Asli #Kampung Tapai #helikopter Agusta Westland AW139
;