Operasi masih berjalan di Kg Tanduo

Astro Awani
Mac 5, 2013 18:50 MYT
Polis masih menjalankan operasi susulan menggeledah Kampung Tanduo dekat Lahad Datu dan proses itu dijalankan dengan hati-hati demi memastikan keselamatan anggota keselamatan yang terlibat.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, polis percaya masih ada musuh yang bersembunyi di kawasan kampung berkenaan yang meliputi kawasan seluas empat kilometer persegi.
"Saya tidak mahu melihat anggota pasukan keselamatan menjadi mangsa," katanya pada sidang akhbar di Lahad Datu, seperti dipetik oleh Bernama hari ini.
Dalam pada itu, Ismail menafikan laporan media Filipina yang mendakwa kononnya kumpulan pengganas itu menemui mayat anggota pasukan keselamatan Malaysia.
Beliau juga menafikan dakwaan mereka bahawa mayat penceroboh diperlakukan tanpa perikemanusiaan oleh anggota pasukan keselamatan.
"(Kenyataan) itu tidak tepat sama sekali. Saya dukacita dengan laporan itu, sepatutnya mereka merujuk kepada pihak rasmi," katanya.
Ismail menegaskan, laporan seumpama itu adalah satu dakyah yang boleh menggugat ketenteraman awam di Sabah.
Sementara itu, kumpulan pengikut waris Kesultanan Sulu menegaskan mereka tidak merancang untuk menyerah diri.
Jurucakapnya, Abraham Idjirani dipetik berkata, kumpulan itu akan berjuang sehingga ke penghabisan.
Kumpulan yang dianggarkan kira-kira 200 orang itu diketuai oleh Agbimuddin Kiram yang dianggap sebagai Raja Muda Kesultanan Sulu.
Idjirani juga mendakwa kumpulan berkenaan belum lagi kalah.
Dalam pada itu, media Filipina juga melaporkan Pasukan Pengawal Pantai republik itu telah menyiapkan dua buah kapal dekat Zamboanga City untuk kemungkinan menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada warga Filipina yang terlibat.
Dalam perkembangan berkaitan, media Filipina melaporkan ribuan suku Tausug dari Basilan, Sulu dan Tawi-Tawi telah bergerak ke Sabah untuk membantu kumpulan berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Majlis Islam Barisan Pembebasan Nasional Moro (MNLF), Habib Hashim Mudjahab dipetik berkata, pihaknya tidak lagi dapat menyekat masyarakat di sana.
Laporan itu bagaimanapun dinafikan oleh pihak tentera Filipina dan Gabenor Wilayah Pentadbiran Autonomi Islam Mindanao (ARMM).
Satu laporan lain sebelum ini menyebut, pihak polis di Zamboanga City menyekat 67 orang penyokong waris Kesultanan Sulu yang cuba ke Sabah.
#Filipina #Lahad Datu #Sabah #Sulu
;