Operasi LRT terjejas akibat gangguan teknikal - RapidKL
Asyraf Roslan
Februari 18, 2019 09:51 MYT
Februari 18, 2019 09:51 MYT
Pengguna Transit Aliran Ringan (LRT) di ibu kota boleh menarik nafas lega apabila perkhidmatan tren itu kini beroperasi seperti biasa.
Awal pagi ini, pengguna LRT bagi laluan Kelana Jaya - KLCC merungut kerana terpaksa menunggu lama dan mengalami kelewatan perjalanan.
RapidKL menerusi akaun Twitternya memaklumkan bahawa perkhidmatan itu mengalami masalah teknikal membabitkan sistem isyarat perkhidmatan dan operasi tren dilakukan secara manual.
Penyedia perkhidmatan itu turut memaklumkan ia sedang berusaha mengenal pasti punca masalah dan sedang menyelesaikannya.
Pengguna yang terjejas dinasihat menggunakan bas perantara di stesen-stesen di antara KLCC dan KL Sentral.
Rapid KL juga menawarkan pilihan untuk pengguna mendapatkan pulangan wang atas pembelian tiket.