Operasi LRT Stesen Bukit Jalil dilanjutkan hingga 1 pagi Jumaat ini

Bernama
Disember 6, 2023 16:45 MYT
Waktu perkhidmatan di Stesen LRT Bukit Jalil akan dilanjutkan hingga pukul 1 pagi pada Jumaat ini (8 Dis) bersempena dengan perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Terengganu FC. - Gambar hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Waktu perkhidmatan di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bukit Jalil akan dilanjutkan hingga pukul 1 pagi pada Jumaat ini (8 Dis) bersempena dengan perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Terengganu FC.
Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) dalam kenyataan hari ini memaklumkan penyokong diminta hadir lebih awal ke Stadium Nasional Bukit Jalil sebelum 5 petang, bagi mengelak kesesakan semasa waktu puncak pada sebelah petang.
"Ini sekali gus memberi keselesaan kepada penyokong dan warga kota yang ingin pulang dari pejabat.
"Kakitangan dan tren tambahan akan disediakan bagi membawa semua penumpang untuk pulang ke destinasi selepas tamat perlawanan. Justeru, penyokong diminta mematuhi peraturan pihak berkuasa dan menjaga keselamatan diri," menurut kenyataan itu.
Pengguna juga disaran menggunakan kad Touch n' Go dan pastikan baki mencukupi, selain dapat menikmati diskaun tambang hingga 25 peratus bagi penumpang dari atau ke Stesen LRT Bukit Jalil sahaja.
-- BERNAMA
#Operasi LRT #stesen Bukit Jalil #perlawanan akhir #Piala Malaysia
;