Operasi Langkawi SkyCab dibuka semula mulai esok
Bernama
April 9, 2019 21:53 MYT
April 9, 2019 21:53 MYT
Operasi Langkawi SkyCab akan dibuka semula mulai esok (10 April) selepas ditutup sejak Isnin lepas (1 April) bagi kerja-kerja penyelenggaraan tahunan.
Pemangku Ketua Pegawai Operasi Panorama Langkawi Sdn Bhd (Panorama Langkawi), Abu Hashim Abd Rahman berkata mengikut perancangan awal kerja-kerja penyelenggaraan bagi tahun 2019 mengambil masa selama 14 hari (1-14 April).
"Namun begitu dengan perancangan yang rapi dan usaha keras kakitangan Panorama Langkawi yang terlibat dalam penyelenggaraan, kerja-kerja tersebut dapat disiapkan dengan lebih awal dari tempoh yang dirancang.
"Sehubungan itu Langkawi SkyCab akan memulakan semula operasinya bermula esok (10 April) dari 9.30 pagi hingga 7 petang," katanya di sini pada Selasa.
Langkawi SkyCab, sistem kereta kabel sepanjang 2.2km panjang menghubungkan Oriental Village di Teluk Burau dengan Gunung Mat Chinchang setinggi 708 meter di sini.
Langkawi SkyCab yang meliputi perjalanan dua hala kira-kira 4.4km adalah sistem kereta kabel terpanjang di dunia (The Longest Free Span) dengan kira-kira 950 meter daripadanya naik hingga mencapai sudut 42 darjah dan diiktiraf sebagai yang tercuram di dunia.
-- BERNAMA
#Destinasi pelancongan
#Langkawi
#langkawi skycab
#panorama langkawi
#pelancong
#pelancongan
#produk pelancongan
#tarikan langkawi