Operasi kunci tayar DBKL lebih berhemah - Khalid Samad

Firdaus Azil
Oktober 29, 2018 13:23 MYT
KHALID: Operasi mengunci tayar kenderaan di sekitar Kuala Lumpur oleh pegawai penguat kuasa DBKL akan dilakukan dengan lebih berhemah. -Gambar fail
Operasi mengunci tayar kenderaan di sekitar Kuala Lumpur oleh pegawai penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan dilakukan dengan lebih berhemah, kata Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad.
Jelas Ahli Parlimen Shah Alam itu, DBKL juga akan memastikan prosedur bersesuaian diikuti, terutamanya dalam mengenal pasti situasi yang membolehkan mereka memberi kelonggaran terhadap kenderaan menyalahi undang-undang, jika pesalah berkenaan ada sebab-sebab tertentu.
Ini, katanya, berbeza dengan penguatkuasaan yang dilakukan oleh syarikat swasta yang dipertanggungjawabkan untuk menjalankan operasi itu sebelum ini, di mana mereka lebih melihat penguatkuasaan itu sebagai aktiviti komersial.
“Kami (pihak kementerian dan DBKL) akan bersiap sedia mengambil alih aktiviti penguatkuasaan ini. Kerana jika tidak bersedia, saya tak rasa Datuk Bandar (Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan) tak akan membuat kenyataan itu.
“Dan saya percaya kami boleh menjalankan operasi penguatkuasaan ini dengan lebih berhemah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Sejarah Kuala Lumpur, di ibu negara, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan Nor Hisham sebagai berkata operasi mengunci tayar di sekitar Kuala Lumpur yang sebelum ini dijalankan oleh Vista Summerose Sdn Bhd, akan dihentikan serta-merta bermula 1 Nov ini.
Namun, dua hari lepas, beliau dilaporkan sebagai berkata DBKL akan mengambil alih operasi itu, dan akan menilai semula perjanjian dengan syarikat berkenaan dalam soal pampasan dan sebagainya.
Dalam pada itu, Khalid berkata operasi ini sepatutnya dilakukan sebagai usaha mengawal dan mengekang kesesakan di atas jalan ekoran sikap sesetengah pengguna jalan raya yang meletakkan kenderaan mereka di tempat yang tidak sepatutnya.
Namun, apa yang menjadi masalah, ialah apabila syarikat swasta berkenaan telah melihat operasi itu dari sudut komersial, dan menyebabkan mereka mempunyai sasaran bulanan tertentu untuk dicapai.
“Benda (pengambilalihan operasi) ini akan timbulkan konflik dengan kontraktor itu, dan kita akan tangani, sebab ada perjanjian.
"Kita sedar akan ada implikasinya tapi saya rasa kita kena utamakan kemaslahatan atau keselesaan warga Kuala Lumpur,” katanya lagi.
#DBKL #Khalid Abdul Samad #Kuala Lumpur #Menteri Wilayah Persekutuan #operasi #Parlimen #shah alam #undang-undang
;