Operasi kesan seorang lagi pelajar UiTM Chendering diperluas

Astro Awani
Januari 12, 2020 12:45 MYT
Operasi mengesan mangsa diperluaskan sehingga ke perairan Marang. -Astro AWANI
Operasi mengesan seorang lagi penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Chendering diperluaskan sehingga ke perairan Marang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata operasi yang memasuki hari kedua dipertingkatkan dengan radius yang lebih besar.
Katanya, selain pencarian di laut pihaknya turut memfokuskan pencarian di kawasan pesisir pantai.
"Operasi hari kedua ini masih diteruskan lagi dengan rondaan di pesisir pantai tetapi diperluaskan sehingga 1.5 kilometer kiri dan kanan dari lokasi mangsa dilaporkan lemas.
"Pada hari ini juga, kita menggunakan aset di air iaitu bot dan kapal daripada maritim yang melibatkan perairan Kuala Terengganu dan Marang," kata Rozizah.
Beliau berkata seramai 40 anggota melibatkan pelbagai agensi termasuk bomba, maritim, polis dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) telah digerakkan.
Dalam kejadian pada Sabtu, kegembiraan sekumpulan pelajar universiti tersebut bertukar tragedi selepas dua rakan mereka dilaporkan hilang manakala seorang terselamat.
Seramai 18 pelajar berkenaan dikatakan berkunjung ke pantai itu kira-kira jam 5.30 petang Sabtu bagi menghabiskan masa cuti hujung minggu.
Bagaimanapun mayat Mohd Nor Hishamudin Nor Saidi, 21, ditemukan terapung kira-kira jam 9.50 malam Sabtu.
Mayat remaja itu dikesan sekitar jarak 1 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
BACA: Mayat pelajar UiTM Chendering ditemukan
#angkatan pertahanan awam #bomba dan penyelamat #pelajar UiTM lemas #pesisir pantai #Rozizah Abni Hajar #Universiti Teknologi MARA
;