Operasi Kedai Tenaga, bacaan meter seperti biasa
Bernama
Januari 13, 2021 17:34 MYT
Januari 13, 2021 17:34 MYT
PUTRAJAYA: Operasi Kedai Tenaga dan bacaan meter elektrik oleh Tenaga Nasional Bhd (TNB) diteruskan seperti biasa, sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan darurat, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.
Beliau berkata semua perkhidmatan pembekalan elektrik yang lain seperti penyambungan bekalan baharu, pembaikan kerosakan dan perkhidmatan pelanggan TNB CareLine di talian 15454 serta Facebook TNB CareLine, juga berjalan seperti biasa.
"Sepanjang tempoh PKP ini juga, tiada pemotongan bekalan elektrik dilaksanakan oleh TNB demi menjaga kebajikan dan kesejahteraan pengguna," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Shamsul Anuar berkata, bagi urusan transaksi atau pembayaran, pihak pengguna dinasihatkan untuk menggunakan kemudahan transaksi dalam talian, yang boleh dicapai menerusi laman sesawang TNB dan aplikasi myTNB.
Pengguna dinasihatkan untuk mengamalkan penggunaan elektrik berhemah dan cekap, sepanjang tempoh PKP kerana dijangkakan penggunaan elektrik isi rumah akan meningkat lebih tinggi daripada kebiasaan, seperti yang dialami semasa tempoh pelaksanaan PKP terdahulu.
"Ini berikutan ramai pihak pengguna mematuhi arahan duduk di rumah, bekerja dari rumah dan anak-anak pula menghadiri sesi pembelajaran secara dalam talian", katanya.
Shamsul Anuar berkata antara tindakan yang boleh diamalkan di rumah dengan mematikan suis peralatan elektrik seperti komputer selepas selesai menggunakannya dan tidak membiarkan penghawa dingin, kipas dan lampu, terpasang dalam bilik yang kosong.
Beliau juga menyarankan pengguna memanfaatkan Program SAVE 2.0, untuk mendapatkan e-rebat RM200 bagi membeli penyaman udara dan peti ais cekap tenaga, sebagai langkah untuk menjimatkan bil elektrik di rumah masing-masing.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin, mengumumkan pelaksanaan semula PKP selama 14 hari di enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan), Melaka, Johor dan Sabah, bermula hari ini sehingga 26 Jan.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam, memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos, sebagai langkah proaktif membendung wabak COVID-19 di Malaysia.
-- BERNAMA
#operasi kedai tenaga
#bacaan meter elektrik
#Tenaga Nasional Bhd
#TNB
#Shamsul Anuar Nasarah
#PKP
#perintah kawalan pergerakan
#darurat