Operasi kawalan paras air sudah bermula di Terusan Tengah
Sinar Harian
Mei 15, 2022 05:30 MYT
Mei 15, 2022 05:30 MYT
JITRA: Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) telah memulakan operasi kawalan paras air Terusan Tengah sejurus kerja-kerja pembinaan ban sementara siap sepenuhnya.
Pengerusi MADA, Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, pintu Alator Pelubang Tengah dan operasi pintu struktur Sifon Lengkuas juga telah dibuka sepenuhnya.
Menurutnya, ia susulan kerja-kerja pembinaan ban sementara akibat kejadian runtuhan ban kanan Terusan Tengah di struktur Alor Limpah Lengkuas siap sepenuhnya pada Khamis.
“Kerja baik pulih struktur akan menyelesaikan masalah runtuhan ban di kawasan tersebut bagi menjamin bekalan air pengairan di Terusan Tengah untuk kegunaan domestik dan tanaman padi berjalan lancar.
“Kita akan meneruskan usaha untuk pembinaan kekal Alor Limpah Lengkuas atau 'steel way' di tapak asal tersebut,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Ahmad Tarmizi berkata, hasil operasi kawalan paras air yang dijalankan mendapati terdapat peningkatan paras air dalam Terusan Tengah dan Loji Rawatan Air (LRA) Syarikat Air Darul Aman (SADA).
“LRA Pokok Sena telah mula beroperasi dengan sebuah pam telah dijalankan manakala LRA Jenun Lama dan Jenun Baru masih boleh beroperasi sepenuhnya.
“LRA Bukit Pinang juga sudah beroperasi dengan menggunakan sumber air bekalan dari Sungai Bukit Pinang,” katanya.
Menurutnya, MADA akan memantau operasi kawalan diteruskan bagi memastikan paras air Terusan Tengah berada pada keadaan selesa agar operasi LRA tidak terjejas.
“Saya juga akan berhubung dengan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee untuk memohon satu bajet khusus bagi pelaksanaan projek ini secara kecemasan bertujuan memulihkan kembali pengairan di Terusan Tengah ini," katanya.
Pada Isnin lepas, media melaporkan 75,000 akaun pengguna SADA di Kota Setar dan Pokok Sena terjejas akibat ban MADA dan Terusan Tengah di Sungai Santap, Pokok Sena, dekat sini, pecah.
Susulan itu, MADA melaksanakan tindakan kecemasan segera berikutan kejadian runtuhan ban kanan terbabit yang berlaku di struktur Alor Limpah, Sifon Lengkuas MADA.
* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.