Operasi feri Kuala Perlis - Langkawi kembali beroperasi esok

Salim Aziz
November 21, 2020 14:36 MYT
Kelihatan sebuah feri dari Kuala Perlis tiba di Terminal Feri Penumpang Kuah ketika tinjauan Bernama 11 Sept lalu. --fotoBERNAMA/Fail
KUALA PERLIS: Perkhidmatan feri laluan Kuala Perlis-Langkawi-Kuala Perlis akan kembali beroperasi esok setelah dihentikan hampir dua minggu berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak 9 November lalu.
Menurut Konsortium Ferry Line Ventures, setakat ini hanya kekerapan satu perjalanan sahaja yang akan beroperasi ke pulau peranginan itu.
"Mengikut jadual perjalanan, operasi feri Kuala Perlis dari Langkawi adalah pada 10.30 pagi, manakala sebaliknya adalah pada 5 petang.
"Bagaimanapun, laluan keluar masuk ke Langkawi melalui Kuala Kedah masih beroperasi dengan kekerapan satu trip sehari," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, tinjauan Astro AWANI di Terminal Penumpang Feri Kuala Perlis mendapati kawasan itu lengang tanpa pengunjung.
Hanya beberapa peniaga kecil yang meneruskan perniagaan, juga terdapat ejen pelancongan yang sedang mempersiapkan kaunter jualan sebelum kembali beroperasi esok.
Kebanyakan yang ditemui menyuarakan harapan tinggi semoga ada sinar baharu buat penggiat pelancongan, setelah perkhidmatan feri diumumkan dapat beroperasi semula.
"Keadaan memang teruk. Bukan kita sahaja, ramai yang teruk. Sebab, di sini ramai ejen yang mengendalikan pakej. Kami tiada kerja lain selain mengharapkan pendapatan dari jualan.
"Harapnya esok ada jualan," kata seorang ejen pelancongan, Azelan Azeman.
Difahamkan, ada di antara ejen pelancongan di situ yang sudah mula menerima tempahan pakej percutian sejak malam tadi.
Sebelum ini, perkhidmatan feri penumpang dari Kuala Perlis ke Terminal Penumpang Kuah di Langkawi, dan sebaliknya, diumum dihentikan operasi sepanjang PKPB selama empat minggu sehingga 6 Disember.
Bagaimanapun, Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam mengumumkan, PKPB di beberapa negeri termasuk Kedah ditamatkan lebih awal, membolehkan perkhidmatan feri penumpang beroperasi seperti biasa.
#Langkawi #Kedah #Perlis #pelancongan #keselamatan #perintah kawalan pergerakan #operasi #peniaga #feri #PKPB #Kuala Perlis #Langkawi Ferry Line Ventures
;