Operasi Carilamat kru kapal layar dipercayai lemas di Langkawi ditangguh

Adie Sufian Zulkefli
Mei 12, 2022 20:18 MYT
Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) turut dibuka di Jeti Marble, Kuah.- Foto APMM
LANGKAWI: Seorang kru kapal layar yang dipercayai lemas di Perairan Penarak, Langkawi selepas dipercayai terjatuh daripada bot dikemudinya di perairan Kuah di sini, pada petang Rabu masih belum ditemukan setakat jam 7 petang tadi.
Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) yang dilakukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah terpaksa dihentikan sekitar jam 7.30 petang ekoran cuaca gelap.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, Operasi SAR hari ini turut melibatkan Pasukan Polis Marin (PPM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam (APM).
“Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) turut dibuka di Jeti Marble, Kuah.
“Keluasan sektor pencarian merangkumi 5.85 batu nautika persegi, namun gagal menemui mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Zawawi berkata, operasi akan bersambung jam 7 pagi esok.
Dalam kejadian pada Rabu, mangsa Ahmad Nur Hassanuddin Ibrahim, 23, berasal dari Alor Setar dipercayai lemas.
Bot fiber dinaiki mangsa ditemui pemancing pada kedudukan 0.3 batu nautika Barat Daya Hotel Westin.
#pelayar lemas #operasi carilamat #Langkawi #operasi sar #operasi ditangguh
;