Operasi cari mangsa terakhir bot karam bermula 9 pagi - Bomba Selangor
Bernama
Julai 19, 2015 12:36 MYT
Julai 19, 2015 12:36 MYT
Operasi mencari dan menyelamat mangsa terakhir dalam kejadian bot karam kira-kira dua batu nautika dari pantai Bagan Sungai Kajang di sini Khamis lepas, bermula 9 pagi ini.
Penolong Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul ketika dihubungi Bernama berkata gerakan mencari mangsa itu, yang dikenal pasti sebagai G. Shankar, sedang giat dijalankan dengan bantuan pasukan penyelamat lain.
Bot itu, yang dinaiki 14 orang terdiri daripada sembilan anggota keluarga dan lima pekerja bot, berlepas dari jeti nelayan Sungai Kajang pada 3 petang bagi melakukan upacara membuang abu mayat.
Anggota penyelamat sedang bertugas di pusat pencarian di Tanjung Karang, Kuala Selangor. - Sumber Foto Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
Enam mayat ditemui setakat ini dikenal pasti sebagai A. Parianathan, 30, yang berasal dari Taman Aman Sekinchan, Selangor, A. Muniamah, 49; K. Logaraj, 29; M. Gnaswdree, 59; G. Jaya Sangari, 27 dan M. Kunasegaran, 57, kesemuanya berasal dari Sungai Buloh, Kuala Selangor.
Tujuh lagi yang terselamat ialah P. Alumalai, M.Sugamaran, V. Nagaswari, N. Sanmugan, C. Sabtayan, C. Sundraja dan S. Partiven.
Mereka diselamatkan oleh nelayan tempatan.