Operasi cari kanak-kanak hilang di laut dapat kerjasama Indonesia

Petrus Bernard
November 2, 2020 05:15 MYT
Pada Isnin, luas sektor pencarian ditambah kepada 54 batu nautika persegi sehingga ke sempadan perairan Indonesia. - Foto Maritim Malaysia
TAWAU: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kanak-kanak yang lemas di Kampung Bergosong, Pulau Sebatik, Jumaat lalu mendapat kerjasama pasukan keselamatan Indonesia.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kapten Maritim Siva Kumar Vengadasalam berkata SAR hari keempat turut disertai tiga aset negara jiran yang antaranya terdiri daripada Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) serta Tentera Nasional Indonesia (TNI).
"Pihak Konsulat Republik Indonesia (KRI) di Tawau sudah memaklumkan kepada negara mereka supaya membantu pencarian kanak-kanak hilang itu di perairan Indonesia.
"Manakala dari pihak kita pula, luas sektor pencarian ditambah kepada 54 batu nautika persegi sehingga ke sempadan perairan Indonesia," katanya ketika dihubungi semalam.
Salah seorang daripada dua beradik yang terjatuh ketika mandi di jeti Kampung Bergosong itu ditemui lemas di perairan Indonesia berdekatan Tg Aru, Pulau Sebatik Timur, pada Ahad.
BACA: Dua beradik terjatuh di jeti: Adik ditemui lemas, kakak masih hilang
Mayat Madsum Telson, 5 tahun, ditemui terapung di perairan itu pada jam 12.30 tengah hari oleh nelayan Indonesia sebelum pihak Maritim diberitahu berhubung penemuan itu.
Sementara itu, seorang lagi mangsa Nazwa Telson, 8 tahun, yang juga kakak kepada Madsum, masih belum ditemui sehingga SAR ditunda pada jam 6.30 petang semalam.
Operasi SAR akan diteruskan hari ini.
#lemas #Kanak-kanak #mangsa #Tawau #Indonesia #SAR #Siva Kumar Vengadasalam #maritim #kerjasama #pasukan keselamatan #Basarnas #tentera Indonesia #perairan Indonesia #sempadan #sektor pencarian #operasi #mencari dan menyelamat #jatuh #mandi #jeti #Kampung Bergosong
;