Operasi buru buaya di perairan Tanjung Bidara bermula

Bernama
Februari 20, 2023 16:59 MYT
Operasi berkenaan dilaksanakan selama dua bulan manakala pemantauan dilakukan setiap tiga minggu. - Gambar/ FB DUN Tanjung Bidara
ALOR GAJAH: Dua perangkap buaya dipasang di sekitar perairan Tanjung Bidara dan Kuala Linggi di sini sebagai usaha menangkap seekor buaya tembaga yang dilihat berkeliaran khususnya di kawasan pantai berkenaan.
Pengerusi Operasi Mencegah, Menangkap dan Pemindahan Buaya Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata operasi berkenaan dilaksanakan selama dua bulan manakala pemantauan dilakukan setiap tiga minggu.
Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara berkata operasi memburu buaya liar itu digerakkan ekoran kegusaran awam selain aduan pengusaha pusat peranginan di sekitar pesisir pantai Masjid Tanah yang kerugian akibat pembatalan saat akhir pengunjung disebabkan maklumat kehadiran reptilia itu.
"Kerajaan negeri mendapat maklumat berkaitan kehadiran buaya liar di perairan Tanjung Bidara hingga Kuala Linggi menerusi rakaman video orang awam yang tular di media sosial.
"Kita memandang serius perkara ini kerana perairan terlibat merupakan kawasan perkelahan dan menjadi tumpuan awam khususnya pada hujung minggu serta cuti sekolah," katanya kepada pemberita selepas melancarkan operasi berkenaan di sini hari ini.
Hampir 100 anggota daripada Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta komuniti nelayan menyertai operasi hari ini.
Sebelum ini, seorang pengguna media sosial merakam kehadiran seekor buaya di perairan Pengkalan Balak sekali gus menggemparkan pengunjung di pantai tersebut.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata walaupun setakat ini tiada kes dilaporkan melibatkan serangan buaya terhadap orang awam, operasi tersebut digerakkan sebagai langkah awal mengelak kejadian selain mengurangkan kegusaran awam.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan negeri Mohd Firrdhaus Mahmood berkata berdasarkan video itu, buaya berkenaan dianggarkan lebih dua meter panjang dan seberat kira-kira 200 kilogram serta dipercayai berasal dari habitatnya di Sungai Linggi.
Beliau berkata buaya itu akan dipindahkan ke Paya Indah Wetlands, Selangor jika berjaya ditangkap.
"Setakat ini kita masih menjejaki laluan buaya berkenaan kerana kawasan perairan ini sangat luas dan dua sangkar diletakkan secara bergilir-gilir di sepanjang perairan Tanjung Bidara hingga Kuala Linggi," katanya.
Mohd Firrdhaus menasihatkan orang ramai, pengunjung pantai serta nelayan yang melihat kehadiran buaya itu supaya tidak mengganggunya bagi mengelak kejadian tidak diingini dan melaporkan kepada pihak berkuasa bagi tindakan lanjut.
-- BERNAMA
#buaya tanjung bidara #buaya #Kuala Linggi #operasi buru buaya
;