Operasi besar-besaran: Peniaga mengeluh anggap MBSA 'balas dendam'
Umavathi Ramayah
Ogos 12, 2020 15:39 MYT
Ogos 12, 2020 15:39 MYT
Tindakan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) melancarkan gerakan operasi besar-besaran di sekitar Bandar Baru Sungai Buloh pada Rabu, susulan penularan video yang dikongsikan oleh seorang penjual burger baru-baru ini, mengundang keluhan dan rungutan para peniaga yang menyifatkannya sebagai 'membalas dendam'.
Seorang pemilik kilang percetakan, Zaidi Abdul Jalil, 56, berkata, MBSA seharusnya memberi tempoh sekurang-kurangnya seminggu.
"Sejak dua tiga hari hari ini (operasi) terlalu drastik. Cara dia (MBSA) bergerak ini seperti 'membalas dendam', bila orang mengadu, dia bertindak balas.
"Salah sikit pun nak saman, (premis) ada awning (sengkuap) untuk menahan hujan pun disaman, ada tangga untuk naik turun pun disaman. Kedai yang buat tambahan berpuluh-puluh tahun, tiba-tiba minta ubah dalam masa 24 jam," katanya yang telah menjalankan perniagaan berlesen di kawasan itu sejak 35 tahun lalu.
Dakwanya, semalam (Selasa), MBSA mengeluarkan pelbagai jenis saman kepada hampir 90 peratus daripada peniaga di kawasan terbabit.
Sementara itu, seorang penjual nasi lemak, Ramlah Yakib, 55, memberitahu, sebanyak 16 gerai di kawasan itu terpaksa dirobohkan malam tadi (Selasa) selepas mendapat notis arahan daripada MBSA.
"Dulu tiga bulan sebab COVID-19 tak berniaga, bermakna masalah kepada kita. Baru sebulan berniaga, tiba-tiba jadi macam ini. Macam kami pun, kita berniaga terpaksa meminjam dengan Hijrah (Yayasan Hijrah Selangor). Bila dah tutup macam mana nak bayar semua," katanya sambil menitiskan air mata.
Dia juga mendakwa, peniaga-peniaga di situ, selain penjual burger yang viral sebelum ini, mematuhi arahan kerajaan untuk menutup operasi perniagaan selewat-lewatnya pukul 12 tengah malam.
Penjelasan MBSA
Dalam pada itu, Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan memberitahu, operasi yang bermula pukul 10 pagi itu turut melibatkan perobohan ke atas premis yang melakukan kerja-kerja tambahan tanpa kelulusan MBSA.
"Hasil pemeriksaan yang dilakukan terdapat premis kilang, restoran serta rumah kedai yang melakukan kerja-kerja tambahan tanpa kelulusan seperti membina awning, dinding, binaan lantai dan lain-lain struktur tanpa kebenaran.
"Kita mengambil tindakan mengikut Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133)," katanya ketika melakukan operasi itu di sini, pada Rabu.
Ditanya mengenai keluhan peniaga yang mendakwa MBSA hanya memberi tempoh 24 jam bagi proses mengosongkan tapak serta merobohkan kerja-kerja tambahan, Mohd Rashidi berkata, notis amaran telah dikeluarkan dan ekoran itu mana-mana peniaga yang tidak mematuhi peraturan di bawah MBSA perlu berbuat demikian dalam tempoh itu.
"Di sini, ingin saya memberi mesej yang jelas, MBSA tidak akan berkompromi mana-mana aktiviti yang melanggari peraturan dan undang-undang yang diperuntukan di bawah MBSA," katanya.
Baru-baru ini tular beberapa video mengenai pendedahan seorang penjual Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid, 42, di Facebooknya mengenai aktiviti perjudian dan penyeludupan rokok di kawasan berkenaan.
#Astro
#COVID-19
#GERAKAN
#Imigresen
#Majlis Bandaraya Shah Alam
#PDRM
#PKPP
#Polis Diraja Malaysia
#SPRM