Operasi Benteng: 99 PATI, dua penyeludup ditahan - Ismail Sabri

Umavathi Ramayah
November 29, 2020 17:38 MYT
Ismail Sabri berkata, kawalan sempadan akan terus diperkasakan - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pasukan penguat kuasa menahan 99 pendatang asing tanpa izin (PATI) serta dua penyeludup dalam Op Benteng, pada Sabtu.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, selain itu dua kenderaan darat turut dirampas dalam operasi berkenaan.
Beliau memberitahu, kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram.
"Agensi-agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus," katanya dalam kenyataan di sini, pada Ahad.
Operasi Benteng yang melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan secara bersepadu itu adalah bagi mengekang jenayah rentas sempadan selain menyekat penularan wabak COVID-19.
Dalam pada itu, beliau berkata, pemeriksaan yang dilakukan oleh penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) ke atas 518 premis mendapati kesemua premis berkenaan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.
Katanya, KPDNHEP juga turut membuat 654 pemantauan harian ke atas 12 jenis bekalan barangan.
"Secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperolehi," jelasnya.
#COVID-19 #Operasi Benteng #pendatang asing tanpa izin #operasi bersepadu #Sempadan Negara #lorong tikus #Ismail Sabri #pati #penyeludup
;