Operasi Benteng: 20 PATI, tiga penyeludup ditahan - Ismail Sabri
Umavathi Ramayah
November 22, 2020 17:08 MYT
November 22, 2020 17:08 MYT
KUALA LUMPUR: Seramai 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) serta tiga penyeludup ditahan pasukan penguat kuasa dalam Operasi Benteng, pada Sabtu.
Turut dirampas adalah sembilan buah kenderaan darat.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram.
"Agensi-agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus," katanya dalam kenyataan media di sini, pada Ahad.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah melakukan 35 operasi sanitasi meliputi sembilan zon merah, tiga zon jingga, enam zon kuning dan sembilan Zon Hijau yang melibatkan 10 buah negeri dan dua di Wilayah Persekutuan.
"Sebanyak sembilan operasi sanitasi dilakukan di Pahang, Sabah (lapan operasi), Pulau Pinang (lima operasi) manakala Johor dan Kedah masing-masing tiga operasi, sementara Negeri Sembilan, Perak, Kelantan, Selangor, Perlis, Kuala dan Labuan, satu operasi di setiap negeri," katanya lagi.
#penyeludup
#Operasi Benteng
#COVID-19
#Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan
#operasi sanitasi
#Sempadan antarabangsa