Operasi bawa naik SUV terhumban: 'Tunggu kelulusan pasukan penyelam'

Astro Awani
Januari 22, 2019 11:41 MYT
Anggota pasukan Polis Marin melakukan operasi mencari sebuah kereta yang terhumban ke dalam laut selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Jambatan Pulau Pinang pada 2.54 pagi Ahad. --fotoBERNAMA
Pasukan penyelamat masih menunggu kelulusan daripada ketua pasukan penyelam sebelum operasi membawa naik sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang terhumban ke dalam laut di Jambatan Pulau Pinang dimulakan hari ini.
Ketika ini, pasukan penyelam daripada empat agensi yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) sudah turun ke lokasi bagi menentukan keadaan di bawah laut, kata Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 1 ACP Rosman Ismail.
Menurutnya, walaupun kerja-kerja penandaan telah dibuat pada Isnin selepas kereta itu dapat dikesan pada petangnya, pihaknya masih perlu menunggu sebelum membawanya keluar kerana arus di dasar laut deras.
Keadaan itu sekali gus menyukarkan pasukan penyelam untuk mengikat tali pada kenderaan SUV Mazda CX5 itu sebelum dibawa naik menggunakan kren, tambahnya.
"Ketua penyelam akan tentukan sama ada kita boleh turun untuk tindakan selaman atau tidak.
"Akan turun, cuma nak tentukan berapa cepat boleh diikat, sebab, keadaan arus kuat," kata Rosman.
BACA: Insiden Jambatan Pulau Pinang nahas kelima sejak 2010
BACA: Operasi SAR menaikkan SUV terjunam disambung Selasa
Menurutnya, seramai 40 penyelam dari pelbagai agensi hari ini akan turun ke dasar laut untuk mengikat kabel kren pada kenderaan terbabit yang berada pada kedalaman 15 meter.
Rosman berkata para penyelam itu terdiri daripada Pasukan Polis Marin, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Maritim Malaysia serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Pihaknya berharap usaha menaikkan kenderaan itu berjalan lancar tanpa sebarang masalah.
Pada Isnin, percubaan pasukan penyelamat sebanyak empat kali untuk menaikan kenderaan itu tidak berjaya kerana kabel yang digunakan untuk mengangkat SUV terlepas beberapa kali.
Selain itu, operasi juga terpaksa di tangguhkan atas faktor keselamatan berikutan faktor cuaca yang semakin gelap selain arus semakin deras.
SUV Mazda CX5 itu dipandu penuntut kolej swasta, Moey Yun Peng, 20 tahun, selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta pada jam 2.54 pagi Ahad.
BACA: Bomba cari kenderaan dipercayai terjatuh ke dalam laut
Kenderaan itu berjaya ditemukan pada 4 petang Isnin di Tiang 34 Jambatan Pulau Pinang sebelum sebuah kren berkapasiti tinggi tiba di lokasi kejadian kira-kira pukul 5.45 petang untuk memulakan usaha membawa keluar kenderaan itu dari dasar laut.
#Jambatan Pulau Pinang #laut #operasi #Penyelam #polis #SUV #terhumban
;