Operasi banteras penerokaan haram Cameron Highlands disambung semula hari ini
Bernama
Mac 8, 2016 11:42 MYT
Mac 8, 2016 11:42 MYT
Operasi membanteras penerokaan tanah dan hutan secara haram di Cameron Highlands akan disambung semula hari ini, selepas dihentikan sejak tahun lepas.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata operasi itu akan melibatkan agensi berkaitan, antaranya Jabatan Perhutanan, pejabat daerah, Pejabat Tanah dan Galian serta polis.
"Isu ini (penerokaan haram) dijangka dapat diselesaikan sekurang-kurangnya dalam masa tiga bulan," katanya kepada pemberita di Stesen Udara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia di Subang, dekat sini pada Isnin.
Tanpa mendedahkan bilangan anggota yang terlibat dalam operasi itu, beliau berkata agensi terbabit akan membuat pemantauan secara tiga syif di kawasan berkenaan.
"Selain itu, premis-premis pertanian yang dibina secara haram di sana (Cameron Highlands) akan dirobohkan dan akan dijadikan kawasan untuk penanaman semula pokok yang baharu (nurseri) yang dikawal selia agensi-agensi berkaitan," katanya.
#operasi banteras peneroka haram Cameron
#pejabat tanah dan galian
#penerokaan haram Cameron Highlands
#Shahidan Kassim