Operasi, aktiviti Jentera Perpaduan kawasan PKP ditangguh

Astro Awani
Januari 14, 2021 14:50 MYT
Arahan penangguhan yang dikeluarkan Kementerian Perpaduan Negara itu berkuat kuasa pada 13 Januari lalu sehingga 26 Januari ini. - Foto Arkib Kementerian Perpaduan Negara
KUALA LUMPUR: Operasi dan aktiviti Jentera Perpaduan melibatkan Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Skim Rondaan Sukarela (SRS), Tabika Perpaduan dan Taska Genius Perpaduan di negeri-negeri terbabit Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perlu ditangguhkan.
Arahan penangguhan yang dikeluarkan Kementerian Perpaduan Negara itu berkuat kuasa pada 13 Januari lalu sehingga 26 Januari ini.
"Bagi KRT dan SRS di negeri-negeri yang dikenakan arahan Perintah Kawalan Bersyarat (PKPB), Kementerian turut mengarahkan penangguhan sementara sebarang jenis aktiviti komuniti termasuk operasi bantuan operasi penyelamatan banjir.
"Buat masa ini hanya KRT dan SRS di negeri-negeri yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sahaja dibenarkan menjalankan aktiviti komuniti dan membantu operasi penyelamatan banjir mengikut SOP yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," memetik kenyataan yang dikeluarkan kementerian itu hari ini.
Sementara itu, Kementerian Perpaduan Negara memaklumkan operasi Tabika Perpaduan dan Taska Genius Perpaduan di negeri-negeri yang dikenakan tempoh PKP akan beroperasi selari dengan institusi pendidikan pra-sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Tabika dan Taska KEMAS, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).
Arahan operasi itu tertakluk kepada pematuhan SOP MKN dan KKM yang lebih ketat.
Kementerian itu turut memaklumkan, bagi Tabika Perpaduan dan Taska Genius Perpaduan di negeri-negeri yang dikenakan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), jadual operasi adalah serentak dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan KEMAS seperti berikut:
a) Tabika Perpaduan akan mula beroperasi pada 20 Januari 2021.
b) Taska Genius Perpaduan yang telah bermula pada 3 Januari 2021 dan 4 Januari 2021 akan terus beroperasi seperti biasa.
#PKP #perintah kawalan pergerakan #kementerian perpaduan negara #Majlis Keselamatan Negara #PKPP #PKPB #Kementerian Pendidikan #Kementerian Kesihatan
;