Operasi Air Selangor: Gangguan bekalan air dijangka lebih lama

Astro Awani
September 4, 2020 16:39 MYT
Keadaan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor I, Bestari Jaya yang dihentikan operasi berikutan pencemaran bau hari ini.
Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) masih belum pasti bila status henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dapat kembali beroperasi.
Namun mereka memberi jaminan pengguna hanya akan mula menerima bekalan air paling kurang dalam tempoh empat hari, selepas kesemua LRA berkenaan kembali beroperasi.
Air Selangor dalam satu kenyataan pada Jumaat memberitahu, sehingga jam 2.30 petang, pencemaran masih lagi dikesan di muka sauk loji-loji dan berada pada tahap 1 TON.
"Air Selangor memandang serius isu pencemaran yang berlaku ini kerana telah menyebabkan henti tugas melebihi 24 jam dan proses pemulihan dijangka memakan masa yang lebih lama bagi memastikan semua pengguna yang terjejas mendapat bekalan air semula.
“LRA-LRA ini akan hanya mula beroperasi jika bacaan 0 TON diperoleh sebanyak tiga kali berturut-turut. Apabila mula beroperasi, pengguna akan mula menerima bekalan air paling kurang dalam tempoh empat hari,” ujar kenyataan itu.
Henti tugas itu menyebabkan Air Selangor tidak dapat mengagihkan air sebanyak 2,767 juta liter sehari kepada para pengguna melibatkan 1,292 kawasan di Wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/ Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.
“Bantuan bekalan air terus diagihkan melalui lori-lori tangki air. Pengguna disarankan mendapatkan bekalan air melalui pili-pili awam dan Pusat Khidmat Setempat (PKS) yang beroperasi 24 jam sehingga bekalan pulih sepenuhnya.
“Lokasi pili awam telah ditambah dari semasa ke semasa bagi membantu para pengguna mendapatkan bekalan air alternatif,” kata kenyataan itu lagi.
Lokasi pili awam adalah seperti di lampiran berikut:
Tambahnya, Air Selangor akan mengemaskini maklumat gangguan bekalan air tidak berjadual dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang di www.airselangor.com.
Para pengguna juga digalakkan untuk memuat turun aplikasi telefon pintar Air Selangor di Google Play atau Apps Store untuk mendapatkan maklumat terkini bekalan air.
#Air Selangor #bekalan air #Gombak #Hulu Langat #Kuala Lumpur #loji rawatan air #pengguna terjejas #Petaling #selangior #shah alam #Sungai Selangor
;