Operasi Air Selangor: Empat loji rawatan masih belum beroperasi semula
Faris Danial Razi
September 4, 2020 21:46 MYT
September 4, 2020 21:46 MYT
Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang yang ditutup akibat pencemaran masih belum boleh beroperasi semula, menurut Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).
“Ujian persampelan yang dijalankan di muka sauk sehingga jam 8:30 malam ini masih mengesan pencemaran pada tahap 1 TON.
“LRA hanya boleh beroperasi apabila tahap pencemaran berada pada tahap 0 TON,” jelas Air Selangor menerusi satu kenyataan media pada Jumaat malam.
Terdahulu, Air Selangor belum pasti bila status henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dapat kembali beroperasi.
Namun mereka memberi jaminan pengguna akan mula menerima bekalan air paling cepat adalah dalam tempoh empat hari, selepas kesemua LRA berkenaan kembali beroperasi.
Pada masa sama, Air Selangor menasihatkan pengguna mendapatkan maklumat rasmi melalui hebahan rasmi atau saluran-saluran interaksi Air Selangor dan tidak menyebarkan berita tidak sahih berhubung gangguan ini.
“Air Selangor akan mengemaskini maklumat gangguan bekalan air tidak berjadual dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram.
“Ia turut boleh didapati menerusi laman sesawang kami di www.airselangor.com,” tambahnya.
Para pengguna juga digalakkan untuk memuat turun aplikasi telefon pintar Air Selangor di Google Play atau Apps Store untuk mendapatkan maklumat terkini bekalan air.