Opera Cina diketengahkan dalam iklan bertemakan Keluarga Malaysia

Bernama
Januari 24, 2022 06:23 MYT
Seorang pelakon opera tradisional Cina dari Thailand bersolek sebelum melakukan persembahan opera. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Sekali pandang, kewujudan sebuah bangunan lama di satu sudut di Jalan Sultan berdekatan Stesen MRT Pasar Seni di sini, mungkin tidak memberi apa-apa makna buat warga kota.
Namun bangunan yang didiami Persatuan Benevolent Dramatic Yen Keng Selangor itu telah berdekad lamanya memelihara satu seni lama yang dikenali sebagai opera Cina atau Xiqu, daripada hilang ditelan zaman.
Siapa sangka bangunan berciri vintaj itu kembali meriah hari ini dengan penggambaran iklan sempena sambutan Tahun Baharu Cina pada 1 Feb ini oleh syarikat penerbitan TVC Keluarga Malaysia.
Selaras dengan aspirasi "Keluarga Malaysia", Pejabat Perdana Menteri telah melantik syarikat berkenaan untuk menghasilkan satu iklan khas yang diinspirasi daripada kisah benar seni yang semakin dilupakan itu.
"Seperti yang kita tahu, Tahun Baharu Cina lazimnya dimeriahkan dengan tarian singa, tetapi kita mahu mengambil pendekatan baharu, iaitu menghidupkan semula opera Cina," kata ketua pengarah TVC Keluarga Malaysia Faisal Rais dalam satu wawancara bersama media ketika penggambaran iklan itu di premis berkenaan pada Isnin.
Faisal berkata opera Cina meraih tarikan pada peringkat antarabangsa berikutan perkembangan teknologi platform media, sekali gus mencetuskan perasaan ingin tahu dan minat orang ramai terhadap seni berkenaan.
Penggambaran iklan itu hanya mengambil masa sehari dan akan ditayangkan pada 30 Jan ini dalam pelbagai bahasa, dengan iklan berdurasi satu minit adalah untuk tayangan televisyen, manakala video sepanjang dua minit adalah untuk platform media Keluarga Malaysia seperti Facebook dan YouTube.
Sementara itu pengarah skrip Sidiqin Omar yang menjalankan kajian dan menulis skrip iklan itu dalam masa dua minggu berkata, beliau menghadapi cabaran memastikan jalan cerita itu menepati aspirasi "bersatu kita teguh, bercerai kita roboh."
"Dalam konteks Tahun Baharu Cina kali ini, iaitu Tahun Harimau, watak utama adalah seorang yang berani. Berani memberi pandangan dan dalam masa sama berani meminta tolong rakan-rakannya berusaha untuk menjayakan persembahan opera Cina," kata Sidiqin.
Turut hadir pada penggambaran hari ini ialah penasihat seni rias dan busana TVC Keluarga Malaysia Elizabeth @ Choi Yam Heong, 86, yang pernah digelar primadona opera Cina di Malaysia.
Berasal dari Seremban, Negeri Sembilan, Elizabeth yang lahir dalam keluarga opera Cina, telah lama berkecimpung dalam industri itu, selain ayahnya yang juga merupakan 'bos' seni persembahan kebudayaan itu.
"Sayalah pelakon dan saya juga penyanyi. Saya mewarisi opera Cina daripada keluarga. Keluarga dan kakak-kakak saya yang mengajar saya," katanya dalam bahasa Kantonis.
Menurutnya, ketika berumur 17 tahun, ayahnya telah membawa beliau ke Hong Kong untuk mempelajari opera Cina dengan seorang guru di sana.
Sehingga sekarang, beliau masih bergiat dalam industri itu dan telah mempunyai sebilangan pelajar yang berminat mendalami seni budaya Cina.
Aspirasi Keluarga Malaysia diketengahkan dalam penceritaan iklan berkenaan iaitu rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang dan kaum bersatu untuk saling membantu ekoran berlakunya bencana banjir yang tidak dijangka.
Syarikat penerbitan itu turut menjalankan pencarian bakat bagi mencari pelakon utama dan akhirnya memilih Charmaine Cheong, 21, yang juga dikenali dengan nama pentasnya Siew Lin.
-- BERNAMA
#opera Cina #iklan #Tahun Baru Cina #Keluarga Malaysia
;