Openg Onn, bekas editor Bernama meninggal dunia
Bernama
Ogos 23, 2021 12:51 MYT
Ogos 23, 2021 12:51 MYT
KUCHING: Bekas editor Bernama yang juga antara pengasas Bernama Radio, Openg Onn Net, 62, meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak di sini malam tadi setelah beberapa bulan menderita penyakit kanser.
Isteri Allahyarham, Sabariah Zaini, 54, berkata, Openg menghembuskan nafasnya yang terakhir pada pukul 9.44 malam.
"Allahyarham sempat berjumpa dengan kesemua anak kami dan sebelum pemergiannya, arwah berpesan kepada saya untuk menjaga baik-baik anak-anak kami," katanya ketika ditemui Bernama di rumah kakak arwah di Kampung Gita di sini.
Pasangan itu mempunyai enam anak dan seorang anak angkat yang berumur 14 hingga 30 tahun.
Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Semariang di Petra Jaya di sini.
Sementara itu, Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg turut menzahirkan ucapan takziahnya kepada keluarga Allahyarham. - BERNAMA