Op Tiris: KPDN sita 6,000 liter minyak diesel bersubsidi

Abd Razak Mohd Ali
Mac 9, 2024 09:40 MYT
Sebanyak 6,000 liter cecair yang disyaki minyak diesel yang ditemui di dalam tangki IBC dan skidtank telah disita. - Foto KPDN Perak
IPOH: Pasukan Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Perak menyerbu sebuah premis yang dijadikan pusat pengumpulan minyak diesel disyaki bersubsidi di kawasan perindustrian Pengkalan II, Pusing, dekat sini, semalam.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, dalam serbuan kira-kira jam 4 pagi itu, sebanyak 6,000 liter cecair yang disyaki minyak diesel yang ditemui di dalam tangki IBC dan skidtank telah disita.
Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan, termasuk lori, tangki IBC dan peralatan pam dianggarkan berjumlah RM70,380.
Katanya, seorang pemandu lori warga tempatan berusia 45 tahun turut ditahan untuk siasatan lanjut.
“Dipercayai sindiket ini bergerak aktif di sekitar Batu Gajah dan Ipoh dengan modus operandinya bersubahat bersama pengusaha stesen minyak yang membenarkan pemandu lori membuat pembelian minyak diesel dengan kuantiti yang banyak untuk menyelewengan minyak diesel bersubsidi.
“Lori bonded ini akan bergerak ke stesen-stesen minyak lain, kumpul dan kemudiannya memindahkan minyak diesel ini ke premis yang berlesen bagi mengaburi pihak berkuasa.
“Sindiket ini kemudiannya akan menjual semula kepada pengguna industri dengan harga industri dan mengambil keuntungan berlipat ganda,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
Kamalludin berkata, kejayaan itu adalah hasil maklumat pasukan perisikan KPDN Perak selama seminggu ke atas penjejakan sebuah lori bonded yang disyaki sering kali melakukan pembelian minyak diesel di stesen-stesen minyak di sekitar Batu Gajah.
Menurutnya, hasil penjejakkan yang dilakukan ke atas lori bonded itu, telah membawa kepada penemuan lokasi sebuah premis yang dijadikan pusat pengumpulan minyak diesel.
“Ketika serbuan dilakukan, lori bonded ini sedang memindahkan cecair yang disyaki minyak diesel ke sebuah skidtank di premis berkenaan,” ujarnya.
Katanya, semakan awal mendapati premis tersebut mempunyai permit menyimpan barang kawalan diesel sebanyak 2,000 liter.
Tambahnya, pemeriksaan lanjut ke atas lori bonded itu juga telah menjumpai empat buah tangki IBC yang disyaki berisi cecair minyak diesel di dalam lori berkenaan.
#minyak diesel #sindiket #kpdn #Kamalludin Ismail
;